Hidup hanya Hayalan

Kamis, 22 Januari 2009

Tugasan Buat 1E

Salam sejahtera
pelajar 1E yang disayangi,

Sila naik muatkan posting yang pertama ke dalam
BLOG masing-masing.

1. Buat pengenalan diri : Nama, Sekolah, tempat tinggal
Nama Glamour (jika ada), latar belakang keluarga,
hobi, makanan kegemaran, kawan baik anda,
orang yang paling anda hormati, dll.

2. Anda boleh bicarakan juga tentang:
-perasaan anda belajar di SQSS
-pengalaman anda belajar di sekolah rendah
-kawan baharu anda di SQSS
-pengalaman 3 minggu belajar BM di SQSS
-harapan dan cita-cita anda di masa hadapan.

3. Sekian, selamat menulis (gunakanlah bahasa Melayu
yang murni...)

salam.
cg ij

Minggu, 18 Januari 2009

Tugasan buat 4E, 5NA, 4NA "Selamat Tinggal SQSS"

SELAMAT TINGGAL SQSS

1. Rakamkan SATU peristiwa yang indah dan
menggembirakan yang menjadi kenangan semasa

di SQSS.

2. Hargai beberapa individu (cth: guru, rakan pelajar dll)
yang telah berjasa kepada anda.


3. Berikan sepatah dua kata-kata NASIHAT kepada

pelajar-pelajar ‘junior’.

4. Nyatakan cita-cita dan harapan anda di masa hadapan.

salam sayang,
cg ij

Rabu, 14 Januari 2009

Selamat Kembali ke SQSS

Selamat bertemu kembali para pelajar yang budiman.
Begitu cepat masa berlalu, kini kita telahpun berada dalam
tahun 2009. Tahun yang menjanjikan kemanisan kejayaan
bagi mereka yang cekal berusaha untuk memajukan diri,
dan kehidupan keluarganya.

Marilah kita sama-sama bantu-membantu dalam mewujudkan
suasana pembelajaran dan pengajaran yang ceria, menarik dan
menyeronokkan di SQSS. Tiada hadiah yang indah dan bernilai
yang dapat pelajar berikan kepada guru dan ibu bapa melainkan
keputusan dan akhlak yang cemerlang. Untuk mencapainya,
pelajar mestilah sedia berkorban masa, tenaga dan harta.

Misalnya, seseorang yang ingin berjaya dalam bidang nyanyian
sudah pasti akan menghabiskan masa yang lama untuk berlatih
menyanyi. Dia sanggup menghabiskan masa, tenaga dan hartanya
untuk mengikuti kursus nyanyian di akademi yang terkenal.
Kesudahannya, dia akan dapat merasakan kejayaan dan
Kepuasan daripada apa yang diusahakannya itu.

Begitu juga dengan pelajaran. Pepatah Melayu ada mengatakan,
“jika tidak dipecah ruyung, manakan dapat sagunya.”
Jika tiada pengorbanan, bagaimana mungkin untuk mengecap
kejayaan? Jika malas bekerja, bagaimana mungkin dapur akan
berasap? Marilah kita renungkan bersama kata-kata mutiara ini
semoga kita tergolong dalam orang-orang yang mendapat
petunjuk dan bimbingan.

salam sayang,
cg ij

Minggu, 11 Mei 2008

Sajak Kesedaran


Ke manakah arahku?

Aku seorang pengembara yang
Masih mencari makna
Akan sebuah kehidupan
Yang pasti akan binasa

Ke Selatan dan Utara sudah,
Ke Timur dan Barat juga sudah,
Ke hutan, gunung dan persisiran pantai sudah,
Ke kota besar yang penuh sandiwara juga sudah

Apa gunanya pangkat dan kemuliaan,
Mahligai indah lagi mewah,
Wanita rupawan dan teman-teman berdampingan

Kalau semua itu umpama
pelangi petang yang pasti menghilang,
Kalau semua itu berbentuk sementara
Kalau semua itu meminggirkan aku jauh
Daripada hakikat kehidupan

Aku dengar pusara itu menyimpan
Seribu makna kehidupan
Katanya, “daripada tanah kita dijadikan,
kepada tanah kita akan dikembalikan”
Itulah kehidupan yang abadi,
Itulah masa depanku yang pasti
Kini, aku seakan-akan sedar daripada
Mimpi kehidupan kepura-puraan



cg IJ engkau

Pantun Budaya Kita


Salam sejahtera
para pelajar yang budiman,


Hayatilah PANTUN Melayu ini...
Semoga para pelajar yang dikasihi
lulus dengan CEMERLANG...
insyaallah.


1 bukan tairu sebarang tairu,
tairu asli berzaman-zaman;
bukan guru sebarang guru,
guru arif lagi budiman.


2
bukan sayur sebarang sayur,
sayuran segar dari seberang;
bukan tegur sebarang tegur,
teguran ikhlas jadikan sempadan.


3
baik-baik menabur budi,
agar tidak disalah erti;
baik-baik mengota janji,
agar janji ditepati.


4
karang terumbu di Pulau Jati,
bentuknya indah lagi berkualiti;
orang berilmu dihormati,
orang dungu dijauhi.


5
tanam tebu di pinggir rumah,
untuk dimakan seisi rumah;
menimba ilmu menjunjung amanah,
agar menjadi insan bermaruah.


6
rumah Wak Dol rumah beranjung,
tiang berukir cengal dan jati;
bahasa dikendong budaya dijunjung,
jadilah Melayu yang kekal jati.


cg ij engkau

Kamis, 03 April 2008

Tokoh yang sangat Mempengaruhi Kehidupan Saya


Selamat bertemu kembali
para pelajar yang budiman.


Kali ini saya mahu pelajar memilih seorang
TOKOH yang sangat mempengaruhi kehidupan
pelajar. TOKOH yang saya maksudkan itu mestilah
dikenali ramai dan telah menyumbangkan sesuatu
dalam kehidupan manusia amnya berpengaruh dan
telah meninggal kesan yang mendalam dalam diri
pelajar khususnya.TOKOH itu boleh berupa seorang
artis, pemuzik, chef, pemikir agama, ahli sukan,
pereka fesyen, pragawati, pendidik, ahli bahasa
dan budaya, ahli politik, ahli perniagaan, jurubina,
saintis dan sebagainya.

Tujuannya, agar pelajar menjadikan TOKOH itu
sebagai ‘mahaguru’ atau model yang dapat anda
contohi. Misalnya jika ada dalam kalangan pelajar
yang ingin merealisasikan impian untuk menjadi
seorang chef yang terkenal, maka, antara TOKOH
yang dapat saya sebutkan di sini ialah Chef Wan,
Chef Yan, & Chef BJ Kadir. (Di sini s.aya telah
menampilkan gambar seorang tokoh seni,
Tan Sri P. Ramlee)
Lakaran Penulisan
‘Tokoh yang sangat mempengaruhi
kehidupan saya’

P1: Memperkenalkan Tokoh.
P2: Mengapa Tokoh ini istimewa?

P3: ‘Menghubungkan’ atau
‘mengaitkan’ tokoh itu dengan diri
anda.

P4: Apakah usaha anda untuk
mencontohi Tokoh itu? (pilih 2-3
keperibadian Tokoh itu)

P5: Menyedari REALITI keadaan
anda sekarang. Apakah
HALANGAN dan CABARAN
yang akan anda hadapi?

P6: Penutup:
selamat menulis,
cg ij

Senin, 31 Maret 2008

Pengalaman menonton Drama MAYAT

salam sejahtera
para pelajar yang dikasihi,

Ribuan terima kasih sebab sudi
menonton bersama-persembahan
Drama: MAYAT yang dipentaskan oleh
TEATER KAMI pada 28 Mac 2008
yang lalu. Saya pasti bagi pelajar
yang menonton drama di TEATER BLACK
BOX buat pertama kalinya akan terbayang-
bayang akan MAYAT yang mencari-cari
mangsanya... he..he..he...

Bagi mereka yang tidak berpeluang menonton,
saya berikan sedikit sinopsisnya.

MAYAT mengisahkan pengalaman empat
orang sahabat yang dalam kesedihan tatkala
kematian seorang daripada sahabat mereka.
Dengan keadaan kehidupan yang serba
kekurangan dan ketiadaan tanah perkuburan
untuk pengkebumian disebabkan pesatnya
pembangunan, empat sahabat itu menghadapi
masalah untuk menguruskan mayat teman
mereka. Maka terjadilah konflik dan pertentangan
pendapat antara mereka berempat. Ketika
konflik itu bertambah tegang, tiba-tiba datang
seorang peniaga yang berurusan dalam perniagaan
jual beli mayat. Dalam keadaan yang tertekan, salah
seorang daripada mereka itu bersetuju untuk
menjual mayat teman mereka itu. Tetapi usaha
ini dibantah keras oleh teman-teman yang lain
dan terjadilah pertelagahan antara mereka
dalam usaha menguruskan mayat tersebut.
Apakah yang akan terjadi kepada mayat tersebut?
Berjayakah peniaga jual beli mayat itu
membeli mayat tersebut?

Sebenarnya, TEATER KAMI suka untuk
memperkenalkan naskah-naskah teater terbaik
masa lalu untuk penonton hari ini yang tidak
berkesempatan menontonnya pada ketika itu,
mentelah lagi isu yang dikemukakan masih
lagi bersesuaian untuk diperkatakan buat masa
kini. MAYAT salah satu daripada naskah & teater
terbaik yang telah dihasilkan oleh Hatta Azad
Khan pada lewat tahun 1970'an dan amat popular
apabila dipentaskan pada awal tahun 80'an.
Begitulah ceritanya ...
Saya berharap pelajar akan
terus menonton drama-drama yang akan
datang yang akan dipentaskan oleh kumpulan
TEATER tempatan...
Akan datang...Drama: Romzi dan Juleha @ Esplanade
Studio Theatre pada 12 Julai 2008, jam 3 ptg
Jangan lupa menonton ya...

wassalam,

cg ij