Hidup hanya Hayalan

Kamis, 13 September 2007

Lawatan ke Melaka

jeling-jeling pandang memandang,
waktu senja duduk di bendang;
betapa indah mata memandang,
jauh berjalan luas pemandangan.

Salam sejahtera pelajar,
Selamat bertemu sekali lagi dalam ruang maya. Kali ini saya ingin berkongsi satu kegiatan tentang lawatan pelajar-pelajar menengah 3 ke Melaka pada bulan Mei, 2007 yang lalu. Sila timba pengalaman rakan-rakan anda itu dengan membaca catatan perjalanan di bawah ini.

Saya bersama rakan-rakan dari kelas 3E dan 3NA telah melawat Melaka pada 26 hb Mei 2007. Kami ke sana bersama empat guru Shuqun, iaitu Encik Tay, Puan Pearly Lau, Cg Ismail dan Cg Khatijah.

Kami tiba di Gelang Patah pada pukul lapan pagi untuk bersarapan dan berehat seketika. Pada jam 12 tengah hari, kami tiba di Planetarium Al-Khawarizmi. Setibanya kami di sana, kami terus menuju ke kafeteria untuk makan tengah hari. Di situ terdapat bilik sembahyang, kafeteria, panggung wayang 3-D dan sebagainya. Kira-kira dua jam kemudian, kami meneruskan perjalanan ke makam Hang Tuah. Kami berkesempatan melihat makam Hang Tuah dan mempelajari sedikit sebanyak tentang sejarah Hang Tuah. Genap jam lima petang, kami bertolak ke Hotel Grand Continental. Saya dan Atiqah telah ditempatkan dalam bilik hotel yang sama. Kami telah diberi masa untuk membersihkan diri dan juga berehat kerana pada waktu malam kami akan ke Umbai untuk menikmati makanan laut seperti ikan, udang, sotong dan sebagainya.

Apabila kami pulang ke hotel pada pukul 10 malam, kami telah ke bilik Encik Tay untuk menyanyi bersama-sama dan juga untuk mengenali antara satu sama lain dengan lebih mesra lagi. Kemudian, kami diberi kebebasan untuk berehat di bilik masing-masing. Saya dan rakan-rakan saya yang lain telah menghabiskan masa kami berbual-bual mesra.

Pada keesokan harinya, kami harus bangun awal, kira-kira pukul tujuh pagi untuk bersarapan pagi. Selepas itu, kami terus menaiki bas untuk menuju ke Tropical Fruit Farm. Kami telah mempelajari tentang berbagai jenis buah-buahan yang terdapat di sana. Pada pukul 12 tengah hari, kami telah pergi ke Perigi Hang Tuah. Kemudian, kami bertolak ke Taman Mini Malaysia pula.

Kami berpeluang menonton satu persembahan tarian yang amat menghiburkan. Para penari berjaya memikat hati para penonton dengan tarian mereka yang unik itu. Saya dan beberapa orang kawan saya telah diundang ke pentas untuk menari bersama para penari tersebut. Pada mulanya, kami berasa agak malu tetapi akhirnya kami berasa seronok sekali.

Saat-saat yang saya nanti-nantikan akhirnya tiba juga. Destinasi terakhir kami ialah sebuah pusat membeli-belah di Pahlawan Mall. Kami diberi tiga jam untuk membeli-belah. Setelah membeli-belah, kami pun berkumpul semula dan meneruskan perjalanan untuk pulang ke Singapura.

Saya dan rakan-rakan telah menimba banyak pengalaman. Banyak peristiwa manis yang telah saya lalui. Darmawisata ini telah memperkayakan pengetahuan saya dalam mendalami budaya dan kesenian Melayu. Kini saya seakan seorang jauhari yang mengenal manikam.


Dilaporkan oleh :
Siti Aisyah Bte Abdul Majid

Sekian, harap kita akan berpeluang merantau lebih jauh lagi pada masa-masa mendatang. Selamat menghadapi peperiksaan akhir tahun. Semoga pelajar semua sudahpun membuat persediaan yang rapi.

kalau ada jarum yang patah,
jangan simpan dalam peti;
kalau ada silap dan salah,
jangan simpan di dalam hati.

Salam sayang,
cg ij

0 Komentar:

Posting Komentar

Berlangganan Posting Komentar [Atom]

<< Beranda