Hidup hanya Hayalan

Selasa, 23 Oktober 2007

Wawancara bersama Encik Ratan Singh tentang Pengalaman Kerjaya (Pegawai Polis Pelabuhan PSA)











Terima kasih Saudara Ratan Singh sebab memberi
saya peluang untuk mewawancara saudara tentang
kerjaya yang pernah saudara ceburi iaitu sebagai
Pegawai Polis Penguasa Pelabuhan Singapura (PSA).

1 Bilakah kali pertama saudara mula bekerja sebagai

pegawai polis pelabuhan? Adakah ini pilihan saudara?

Saya mula berkhidmat dengan PSA sebagai Pegawai Polis

Pelabuhan pada 11 Ogos 1970. Ya, ini memang kerjaya
pilihan saya.


2 Mengapa saudara memilih kerjaya sebagai pegawai

polis pelabuhan?

Saya memilih kerjaya dengan Polis PSA sebab ketika

itu gaji yang ditawarkan oleh pihak PSA lebih tinggi
berbanding dengan gaji yang ditawarkan oleh
Angkatan Polis Singapura.


3 Jika tidak keberatan, harap saudara dapat terangkan

sedikit tentang tugas harian saudara di PSA.
(misalnya, apa yang saudara lakukan apabila saudara
mula masuk bertugas setiap hari…)


Tugas utama saya adalah untuk memastikan undang-undang

dan peraturan- peraturan di pelabuhan dipatuhi oleh semua
pihak. Saya bertanggungjawab untuk memeriksa individu,
kenderaan barangan dan kontainer yang masuk dan keluar
dari/ke pelabuhan. Semua prosedur tersebut memerlukan
dokumen yang sah, pasport, buku catatan pelaut dan pass untuk

memasuki PSA.

Setelah bertahun-tahun berkhidmat, saya menerima kenaikan

pangkat sebagai Staff Sergeant. Dengan ini, tugas saya semakin
mencabar kerana saya harus menyelia dan memantau sekumpulan
konstabel yang ditugaskan di beberapa kawasan di pelabuhan.

Semasa melaporkan diri untuk bertugas, saya akan berpakaian

seragam polis, lengkap dengan senjata api, baton, alat
perhubungan-walki talki. Saya bertugas di mana-mana di
kawasan pelabuhan PSA. Bergantung di mana perkhidmatan
saya diperlukan. Ada kalanya saya diarahkan untuk bertugas di
Bilik Operasi Markas, melakukan tugas-tugas rondaan, bertindak

sebagai ketua di Pusat Pemeriksaan barangan (Keppel Terminal,
Container Terminal, Brani Terminal, Pasir Panjang Terminal).

Saya juga bertanggungjawab untuk melakukan ‘roll-call

atau mengambil kedatangan konstabel-konstabel di
bawah penyeliaan saya. Sebelum mereka memulakan tugas,
saya memberi mereka taklimat ringkas tentang tugas yang
harus mereka sempurnakan pada hari tersebut.


4 Pernahkah saudara mengalami kesulitan semasa

bertugas. Jika ada, harap saudara boleh berkongsi
pengalaman tersebut dengan saya.

Pernah juga. Saya pernah mengalami kesulitan dengan

para pengguna pelabuhan dan personel di bawah
penyeliaan saya. Sungguhpun demikian, saya berupaya
mengatasi kesulitan tersebut. Hal ini demikian kerana saya
telah mengikuti kursus “Menangani Pelanggan yang Cerewet”.

Kemahiran yang saya timba sangat-sangat membantu saya
dalam menangani karenah pelanggan dan bertindak dengan
sewajarnya di dalam situasi-situasi yangmencabar. Saya
lakukan ini semua dengan penuh kesabaran dan sejajar
dengan apa yang ditetapkan oleh majikan saya.


5 Ceritakan satu pengalaman yang tidak dapat saudara
lupakan semasa berkhidmat sebagai pegawai polis PSA.

Satu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan…”Kita mesti
mendengar dengan teliti apabila menerima pesanan atau
apa saja yang diberitahukan kepada kita dan bertanya
jika berasa kurang pasti tentang pesanan tersebut”

Tentang peristiwa ini, ketika itu saya sedang mengendalikan
Bilik Operasi Markas (HQ) bersama seorang koperal wanita.
Beliau menerima panggilan daripada Divisyen Radio Polis
bahawa sebuah treiler PSA telah terlibat dalam satu
kemalangan di koswe. (Di PSA, terdapat ‘causeway’ yang
menghubungkan Pelabuhan Pusat dengan Terminal Brani).

Dengan segera rakan kerja saya telah mengerahkan Pegawai
Ronda (S/Sgt Ismail b. Leman) ke Terminal Brani untuk
menyiasat akan kemalangan tersebut. Setelah berada di situ,
beliau dapati tidak ada apa-apa kejadian yang berlaku. Beliau
menghubungi saya dan melaporkan keadaan yang sebenar.

Kemudian, saya langsung menghubungi Divisyen Radio Polis
untuk mengesahkan laporan itu. Mereka memberitahu saya
bahawa kemalangan itu sebenarnya berlaku di Koswe Woodlands.
Treiler PSA yang terlibat dalam kemalangan itu sedang diletakkan
di laluan Koswe Woodlands menghala ke Singapura.

Maklumat yang saya terima ini telah menyebabkan pihak PSA

mengambil tindakan yang berbeza. Kemudian, saya
menasihatkan rakan kerja saya supaya lebih berhati-hati
apabila menerima sebarang pesanan dan belajar daripada
kesilapan.


6 Pernahkan saudara menyesali memilih kerjaya sebagai

pegawai polis pelabuhan PSA?

Tidak. Saya tidak pernah berasa sesal berkhidmat sebagai

pegawai polis pelabuhan.


7 Adakah saudara berasa bangga berkhidmat dengan PSA?

Pernahkah saudara diberi pengiktirafan semasa tempoh
perkhidmatan?

Ya. Saya ada pengalaman yang membanggakan apabila saya

mendapat kenaikan pangkat mula daripada pegawai konstabel
hingga ke pangkat staf sarjan. Saya bersara daripada
perkhidmatan pada 4 Januari 2005 setelah berkhidmat setia
selama lebih 34 tahun dengan PSA. Saya juga menerima
Pingat Kelakonan Cemerlang dan Pingat Tempoh Perkhidmatan

(Long Service Award)


8 Kini, saudara bertugas di sekolah. Bagaimana saudara

membandingkannya dengan tugas saudara sebagai
pegawai polis pelabuhan PSA.

Semasa bertugas sebagai pegawai polis pelabuhan, saya
berurusan dengan orang awam, pekerja dewasa, masyarakat
tempatan dan masyarakat luar negara. Ada antara mereka yang
pernah terlibat dalam jenayah dan daripada kumpulan yang jahat.
Di sekolah, saya berurusan dengan para pelajar yang saya

anggap macam anak saya sendiri. Mereka perlu dibimbing
dan diajar tentang nilai-nilai yang murni. Kadang kala saya
juga memberikan nasihat kepada mereka.

Apa yang telah saya pelajari dan alami di PSA amat berguna
sekali. Saya berupaya mengaplikasikannya di sekolah. Kadang
kala saya perlu bersikap sabar dan cuba memahami sikap para
pelajar yang menguji kesabaran saya.


9 Berikan pandangan saudara tentang Sekolah Shuqun,
guru-guru dan pelajar- pelajarnya. Harap saudara dapat
berikan pandangan yang ikhlas.

Sekolah Menengah Shuqun ini sangat indah dengan tamannya

yang menghijau. Semua guru, naib pengetua, pengetua dan
personel yang bertugas di sini sangat baik hati. Saya kagum
dengan kesabaran dan daya ketahanan yang tinggi yang
ditunjukkan oleh para guru di sini. Mungkin mereka telah
menjalani latihan yang berkesan semasa menjadi guru pelatih
sedikit masa dahulu.

Kebanyakan pelajar di sini berkelakuan baik. Ada yang sopan,
menunjukkan sikap hormat, dan mendengar kata. Ada juga
yang nakal dan sering melanggar peraturan sekolah. Saya
berharap mereka akan berubah sikap pada satu masa nanti.


(Ribuan terima kasih saudara Ratan sebab sudi diwawancara bagi
manfaat pelajar-pelajar Shuqun. Sesungguhnya, pengalaman yang
saudara Ratan kongsi bersama ini dapat memperkayakan lagi
pengalaman mereka bersekolah di sini.)

1 Komentar:

Anonymous Anonim mengatakan...

maaf cik.saye hendak tanye itu bila kita da keje dalam psa buat wokrking macam orang malay bila nak makan macam mana ? ape ada kantin free buat working

24 Januari 2015 pukul 00.12  

Posting Komentar

Berlangganan Posting Komentar [Atom]

<< Beranda