Hidup hanya Hayalan

Selasa, 25 September 2007

Peranan Kesenian Zapin Dalam Masyarakat Melayu

Salam sejahtera pelajar yang tersayang,

burung Nuri burung Tempua,
buat sarang di pinggir kuala;
nikmat sungguh dapat bersua,

ibarat mati hidup semula.




Peranan kesenian zapin dalam masyarakat Melayu amatlah besar dan cukup berpengaruh. Kesenian ini juga telah berjaya memperkayakan budaya dan seni masyarakat Melayu sebagai sumber hiburan; sebagai alat untuk menggalakkan perpaduan dan kerjasama sesama kaum. Tradisi kesenian zapin yang berasal-usul dari negeri Arab dan mempunyai unsur-unsur keislaman ini dinilai tinggi oleh masyarakat Melayu Johor dan dibudayakan juga oleh masyarakat Singapura, Riau dan Sumatra.

Kesenian zapin merupakan satu bentuk kesenian muzik dan tarian. Pada asalnya zapin hanya dipersembahkan oleh peserta lelaki sahaja sesuai dengan tuntutan Islam. Lagu-lagunya pula mengandungi lirik yang mengagungkan Allah, puji-pujian kepada rasul dan nasihat untuk kesempurnaan dan keunggulan akhlak. Zapin juga dipersembahkan di majlis-majlis perkahwinan, berkhatan, khatam Al-Qur'an, Maulidur Rasul dan perayaan-perayaan keagamaan.

Namun demikian, kesenian zapin di Johor, Singapura, Riau dan lain-lain kawasan di Sumatra mengekalkan tradisi Arab yang disebut zafana; di mana persembahan zapin hanya dikhususkan untuk majlis-majlis perkahwinan dan perayaan keagamaan sahaja.

Seperti yang dinyatakan, zapin lazim dipersembahkan di majlis perkahwinan. Ia menjadi sumber hiburan terpenting bagi mempelai, kaum keluarga, sanak-saudara dan para tetamu yang hadir. Persembahan ini akan bermula pada waktu malam dan biasanya selesai pada dinihari sebelum waktu Subuh. Kawasan beranda rumah atau pelantar sementara yang berfungsi sebagai pentas disediakan bagi persembahan zapin. Penari zapin dan pemain zapin yang semuanya terdiri daripada kaum lelaki akan bersama-sama mempersembahkan tarian dan muzik zapin. Mereka juga akan mengundang beberapa orang tetamu di majlis perkahwinan itu untuk bersama-sama memeriahkan persembahan tersebut. Secara tradisi, persembahan zapin tidak melibatkan penari dan pemain perempuan. Ini sesuai dengan tuntutan agama Islam yang melarang kaum lelaki dan kaum perempuan bergaul secara bebas dalam majlis seumpama itu. Namun demikian, kaum perempuan dibenarkan menyaksikan persembahan zapin sebagai penonton yang duduk di belakang barisan penonton lelaki .

Selain itu, tarian dan muzik zapin juga berperanan sebagai sumber hiburan kepada rakyat jelata. Zapin yang pada mulanya menjadi seni tradisi tinggi yang dibudayakan oleh golongan bangsawan dan golongan pemerintah mula mendapat ruang di hati masyarakat umum apabila kesenian zapin ini diajarkan kepada rakyat jelata oleh golongan istana. Oleh yang demikian, zapin telah menjadi hiburan rakyat di mana setiap lapisan masyarakat tidak kira peringkat umur dan kedudukan sosial, sama-sama terlibat secara langsung sama ada menjadi pemain zapin; penari zapin atau penonton zapin di desa dan bandar.

Secara peribadi, untuk melestarikan seni tarian dan muzik zapin dalam zaman di mana masyarakat Melayu mempunyai banyak pilihan dalam dunia hiburan, seni zapin harus bersedia membuat sedikit pengorbanan. Ini dapat dilakukan dengan menyesuaikan atau menggabungkan unsur-unsur tarian dan muzik tradisi Melayu yang lain yang lebih digemari oleh masyarakat Melayu umumnya.


Jika masyarakat Melayu lupa akan jatidiri dan memandang remeh akan tradisi dan warisannya, maka mereka akan terpinggir daripada laluan budaya itu sendiri. Dengan secara tidak langsung, budaya kesenian zapin akan turut terpinggir jauh daripada kehidupan masyarakat Melayu dan tidak lagi berperanan seperti yang diharapkan. Kesenian zapin yang telah menjadi teras kepada kebudayaan masyarakat Melayu sejak turun-temurun dikhuatiri akan pupus ditelan zaman.

0 Komentar:

Posting Komentar

Berlangganan Posting Komentar [Atom]

<< Beranda