Hidup hanya Hayalan

Rabu, 26 September 2007

Pengalaman bersekolah di Sekolah Melayu (Singapura)









dari mana punai melayang,
dari paya turun ke padi;
dari mana datangnya sayang,
dari mata turun ke hati.

Salam sejahtera para pelajar yang tersayang,

Kali ini saya ingin berkongsi temubual saya bersama Hj Ali Md Saman tentang pengalaman beliau bersekolah di salah sebuah sekolah Melayu di Singapura. Tujuannya, supaya para pelajar dapat menimba sedikit pengalaman tentang pengajaran dan pembelajaran di sekolah Melayu ketika itu melalui kaca mata Hj Ali. Dengan demikian, saya harap pelajar lebih menghargai ilmu dan kemudahan-kemudahan yang disediakan di sekolah ini. Sila ikuti temubual ini...



Penulis: Terima kasih kepada Tuan Haji kerana sudi ditemubual tentang sekolah Melayu yang Tuan Haji ikuti di Singapura ini. Boleh Tuan Haji terangkan sejarah latar belakang persekolahan Tuan Haji di sekolah Melayu?

Hj. Ali: Pada tahun 1941, saya didaftarkan oleh orang tua saya di Sekolah Melayu
Padang Terbakar. Jadi saya mula bersekolah Melayu di Padang Terbakar
tahun 1941, darjah I. Kemudian, apabila saya lulus peperiksaan, saya

dinaikkan ke darjah II, pada tahun berikutnya. Apabila Singapura ditakluk
oleh Jepun pada tahun 1942, saya terpaksa berhenti sekolah. Semasa
pemerintahan Jepun di Singapura, keluarga saya berpindah ke kukup
Permas Kelapa di Johor. Ketika itu usia saya 8 tahun. Saya menetap
di sana hingga tahun 1945. Selepas Jepun 'surrender' lebih kurang dalam
masa 3 hari tahun 1945, saya sekeluarga pulang ke Singapura iaitu di
Kampung Jalan Hj Salam. Kemudian, saya teruskan persekolahan di
Sekolah Melayu Padang Terbakar di peringkat darjah III sehingga darjah IV.
Darjah IV merupakan peringkat yang tertinggi di sekolah itu. Dengan
demikian saya terpaksa melanjutkan persekolahan di Sekolah Melayu Telok
Kurau. Di sana saya belajar cuma setahun saja hingga darjah V. Kemudian
saya berpindah ke Sekolah Melayu Geylang di Lorong 23. Di sana saya
belajar selama 2 tahun iaitu darjah VI sehingga darjah VII. Selepas itu, saya
berjaya dapatkan pekerjaan di Woodbridge Hospital pada tahun 1955
sehinggalah saya 'retire' pada tahun 1989.

Penulis: Boleh Tuan Haji terangkan sistem persekolahan pada masa dahulu di sekolah Melayu yang Tuan Haji ikuti itu?


Hj Ali: Di Sekolah Melayu Padang Terbakar, terdapat seorang Pengetua sekolah.
Beliau tidak ada penolong pengetua atau kerani sekolah. Terdapat 4 orang
guru yang masing-masing ditugaskan mengurus dan mengajar satu darjah.
Maknanya, satu darjah, satu guru. Guru itulah yang mengajar semua subjek
bagi satu-satu kelas tu. Dari segi bilangan muridnya, terdapat kurang lebih 25
hingga 35 murid bagi setiap kelas.

Penulis: Bagaimana pendaftaran murid dilakukan?

Hj Ali: Pada masa itu biasanya ibu bapa yang mendaftarkan anak-anak mereka untuk dimasukkan ke sekolah.

Penulis: Boleh Haji terangkan sedikit tentang jadual waktu dan hari-hari cutinya di sekolah Melayu dahulu?


Hj Ali: Sekolah mula jam 7.30 pagi dan berakhir jam 12.00 tengahari. Kemudian
barulah kami dapat berehat dan pulang ke rumah. Jadual waktu bagi setiap
subjek itu tidak tetap. Ia bergantung pada subjek dan guru. Maknanya
sehingga satu subjek itu selesai diajarkan, barulah guru itu akan masuk ke
subjek yang seterusnya. Jangka masa bagi pengajaran satu-satu subjek itu
kira-kira 30 hingga 60 minit. Dalam pada itu, kami juga diberi masa 30 minit
untuk rehat. Masa itu disebut sebagai 'turun makan'. Kemudian, setiap hari
Jumaat, kami diberi cuti umum, ertinya tidak ada sekolah. Selain itu, kalau
ada 'holiday' kami pun akan 'holiday' sama. Mengenai cuti selepas
peperiksaan pula, kami diberi cuti selama seminggu.

Penulis: Boleh Tuan Hj terangkan sedikit mengenai subjek-subjek yang diajarkan di sekolah Melayu itu?


Hj Ali: Semasa di sekolah Melayu, saya belajar ilmu hisab, karangan, lukisan, ilmu
alam, senaman, menulis Jawi dan Rumi. Dalam pelajaran kira-kira, saya diajar
mengenai cupak, tael, kati, bongkang. Kegiatan luar darjahnya pula, kami
main bola sepak, 'rounders', main gasing dan lain-lain. Kegiatan-kegiatan itu
diadakan dalam seminggu dua kali.

Penulis: Bagaimana pula dengan kriteria kenaikan darjah?

Hj Ali: Semasa saya sekolah dulu, setelah tamat peperiksaan dan keputusan
diumumkan, sekiranya seseorang pelajar itu mendapat markah peratusan
keseluruhan di bawah 50%, pelajar itu tidak akan dinaikkan darjah. Dia
harus mengulangi pelajarannya lagi di peringkat yang sama. Jadi maknanya
dia kena 'stayback'. Bagi pelajar yang mendapat peratusan markah atas 50%,
akan dinaikkan darjah.

Penulis: Baik terima kasih. Boleh Tuan Haji terangkan pula cara peperiksaan dilaksanakan berapa lama jangka masa bagi satu-satu peperiksaan di sekolah Melayu itu?


Hj Ali: Ketika di sekolah Melayu dulu, peperiksaan diadakan setahun sekali. Semasa
peperiksaan akhir tahun darjah I sehingga darjah IV, soalan-soalan
peperiksaan semuanya ditulis di papan hitam. Setiap murid akan melihat
soalan-soalan tersebut dan menjawabnya di kertas jawapan. Apabila saya
berada dalam darjah V hingga darjah VII, semasa menduduki peperiksaan, setiap
murid diberikan satu set kertas soalan dan kami harus menjawabnya di kertas
soalan tersebut. Peperiksaan bagi satu-satu subjek itu lebih kurang satu jam.
Jadi, dalam masa satu jam itu kami harus selesai menjawab semua soalan
yang dikemukakan dalam kertas soalan itu. Jangka masa bagi keseluruhan
peperiksaan yang pernah saya alami itu selewat-lewatnya sampai 3 hari. Tapi
biasanya 2 hari dah selesai.


Penulis: Boleh Tuan Haji terangkan mengenai buku teks yang digunakan di sekolah Melayu dan adakah setiap pelajar itu membawa buku ke sekolah dan kalau tidak ada buku yang dibawa, bagaimana mereka belajar di dalam kelas itu?


Hj Ali: Semasa saya sekolah dulu, buku teks bacaan yang ada itu hanya dua. Satu
untuk guru dan satu untuk murid. Apabila masanya guru mengajar, satu buku
teks bacaan itu berada di tangannya dan satu lagi dikongsi oleh murid-murid.
Jadi murid-murid membacanya bergilir-gilir. Sekiranya kami tersalah baca,
guru akan membetulkannya. Tidak seperti sekarang. Satu murid ada satu
buku. Jadi dalam kelas saya itu sekiranya ada 30 murid, maka buku bacaan itu
dibaca bergilir-gilir oleh 30 orang murid. Buku teks itu disediakan oleh
Kementerian Pendidikan untuk dipinjamkan kepada pihak sekolah.

Penulis: Selain itu, apakah alat bantu mengajar yang digunakan dalam kelas?

Hj Ali: Apa yang saya ingat, guru tidak menggunakan sebarang alat bantu mengajar.
Mereka hanya menggunakan kapur putih dan papan hitam. Semua maklumat
yang hendak disampaikan itu ditulis di papan hitam.

Penulis: Boleh Haji terangkan sedikit tentang uniform di sekolah Melayu?

Hj Ali: Semasa saya bersekolah darjah I hingga darjah IV, saya tidak ada uniform
sekolah. Jadi saya pakai pakaian rumah saja. Apabila saya bersekolah di Telok
Kurau, uniformnya baju putih seluar kuning. Selepas saya tamat darjah V
Sekolah Telok Kurau, saya berpindah ke Sekolah Melayu Geylang, di situ
uniformnya berubah; baju putih, seluar hitam. Uniformnya seragam, baik
murid lelaki mahupun murid perempuan. Semasa saya darjah I, II, dan III,
saya pergi sekolah kaki ayam, tidak ada kasut. Pakaian begitu juga, tak
bergosok. Apa yang boleh dipakai, saya pakai. Seluar pun begitu juga. Saya
pakai seluar pendeklah pada masa itu.

Penulis: Boleh Haji terangkan pengalaman mengenai disiplin para pelajar di situ. Sekiranya ada pelajar yang melanggar peraturan sekolah seperti ponteng sekolah atau tidak membuat tugasan, jadi apakah tindakan yang guru ambil?


Hj Ali: Semasa saya sekolah Melayu dulu, sekiranya dalam kelas ada murid yang
tidak patuh akan perintah guru misalnya dengan buat bising, bergaduh atau
pun dia koyakkan buku kawan, cikgu akan panggil dia dan diberikan amaran
dan nasihat. Ada sesetengah guru akan suruh murid naik atas bangku, didenda
turun naik 10 kali; supaya dia sedar akan kesilapannya. Lagi satu, sekiranya
kalau murid itu masih berdegil , guru yang mengajar akan beritahu kepada
guru besar, kemudian guru besar akan panggil murid itu dan diberi nasihat
atau pun didenda. Ada yang disuruh baring, dia rotan. Tapi tidak dirotan
sekuat-kuatnya, untuk buat peringatan ssahaja. Dia pukul kat mana? Kat kita punya
punggung. Kesimpulannya, masalah disiplin di sekolah dulu tidaklah serumit
sekarang.

Penulis: Apakah pandangan Haji mengenai sikap guru dan murid di sekolah Melayu itu?

Hj Ali: Saya lihat ada guru yang mengajar tu betul-betul serius; maknanya guru itu
sungguh-sungguh dalam menyampaikan ilmu pengetahuan. Ada juga guru yang
mengajar sambil lewa ikut 'mood'nya.

Penulis: Baik, jadi dari segi sikap murid terhadap pelajaran tu bagaimana?

Hj Ali: Apa yang saya perhatikan murid-murid dulu, ialah alhamdulillahlah, tak ada
kata nak membantah ataupun cuba nak lawan guru ataupun nak ambil tindakan
terhadap guru. Apa yang guru arahkan, kami buat. Jarang murid membantah.

Penulis: Boleh Tuan Haji terangkan satu pengalaman yang tidak dapat Haji lupakan semasa belajar di sekolah Melayu selama 7 tahun?

Hj Ali
: Semasa saya darjah V di Sekolah Melayu Telok Kurau, masa itu ada seorang
guru yang namanya terpaksa saya rahsiakan. Apabila guru ni masuk kelas, murid-
murid ada yang berbual, bercakap, ketawa bising-bising. Jadi, guru marah dan
ambil tindakan terhadap kami. Jadi dia suruh kami semua bangun dan
diarahkan turun ke bawah dan beratur di padang. Apabila kami dah beratur di
padang, dia suruh kami lari 5 pusingan. Selepas peristiwa itu saya benar-benar
serik dan kisah tersebut saya ingat sampai bila-bila. Bukanlah saya berdendam,
tetapi sebagai pengajaran buat diri saya.

Penulis: Sistem persekolahan dulu dan sekarang jauh berbeza dalam pelbagai segi. Apa yang Haji inginkan (sekira dapat diadakan) ketika bersekolah di Sekolah Melayu dahulu?

Hj Ali: Dari segi kelengkapan yang ada, amat berkurangan. Contohnya, buku teks
yang disediakan cuma 2 buah sahaja. Jadi kita murid-murid cuma kita
mendengar saja apa yang disampaikan oleh guru tanpa dapat merujuk. Ini
menimbulkan masalah bagi murid-murid yang mungkin lemah daya ingatan
untuk mengingati dan memahamkan satu-satu pelajaran itu. Apabila tidak ada
buku, ulangkaji juga tidak dapat dilakukan dengan sempurna. Ini berbeza
dengan sekolah sekarang yang serba cukup lengkap. Setiap murid mempunyai
buku-buku untuk rujukan dan lakukan ulangkaji. Dengan itu dapat membantu
pemahaman dengan mudah.

Penulis: Saya ucapkan ribuan terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk ditemubual tentang pengalaman Tuan Haji bersekolah di Melayu selama 7 tahun di Singapura.

Begitulah termubual saya bersama Hj Ali Md Saman. Saya harap para pelajar mendapat manfaat daripadanya.

Kalau ada sumur di ladang,
boleh hamba menumpang mandi;
kalau ada umur panjang,
boleh kita bertemu lagi.

cg ij

0 Komentar:

Posting Komentar

Berlangganan Posting Komentar [Atom]

<< Beranda