Hidup hanya Hayalan

Kamis, 20 September 2007

Seksisme Dalam Pantun Melayu


Salam sejahtera para pelajar yang disayangi,


Kali ini saya ingin berkongsi tentang seksisme yang terkandung dalam pantun Melayu.


Sebelum saya meneruskan perbincangan, bolehkah kita katakan bahawa bahasa itu bersifat seksis? Sebenarnya jawapan bagi persoalan tersebut sangat subjektif. Ini kerana yang bersifat seksis itu ialah penutur bahasa itu sendiri. Pada satu pihak yang lain pula bahasa itu bersifat seksis kerana masyarakat kini telah menerima kekata , frasa atau ayat bagi kegunaan dalam bahasa tersebut.


Kita boleh katakan bahawa bahasa seksis itu ialah bahasa yang memihak kepada sesuatu jantina atau yang memburuk-burukkan sesuatu jantina, sikap ini lebih cenderung kepada sikap tidak adil terhadap kaum wanita dan lebih mengutamakan kaum lelaki.


Seperti mana yang kita ketahui, pantun merupakan antara antara alat perhubungan yang sangat digemari dan digunakan oleh setiap lapisan masyarakat daripada raja sampai kepada hamba sahaya satu ketika dahulu. Hubungan pantun dengan masyarakat Melayu amat mesra dan erat sekali. Ini terbukti penggunaannya dalam majlis-majlis peminangan, nikah kahwin; dendangan rakyat; sebagai hiasan dan bunga bahasa dalam ucapan rasmi dan sebagainya. Oleh sebab penggunaannya yang begitu meluas dalam kalangan masyarakat Melayu, pantun telah membentuk sebahagian daripada bahasa basahan seharian penutur Melayu.


Perkara yang menarik perhatian dalam sejumlah pantun yang dikumpulkan adalah tentang penggunaan kata ganti nama tuan dan puan. Penggunaan kata ganti nama tuan ini sering digunakan bagi merujuk perkara-perkara yang umum dan tertentu; sifat dan sikap manusia dan lain-lainnya. Jika dibandingkan dengan penggunaan kata ganti nama puan, bilangannya amat terbatas. Satu lagi perkara, dalam kumpulan pantun Melayu peranan lelaki lebih dominan dan lebih penting dalam segala bidang jika dibandingkan dengan peranan perempuan dalam masyarakat Melayu. Kaum lelaki juga dihormati dan disanjung tinggi di atas kebolehan dan keelokan budi mereka. Dengan itu, kewujudan perempuan itu digambarkan sebagai bayangan sahaja, bersifat lemah dan mereka sentiasa mengharapkan perlindungan daripada kaum lelaki dalam semua situasi. Ini dapat dibuktikan dengan contoh-contoh pantun di bawah ini.


i) Lelaki digambarkan sebagai genus yang dominan; lebih berkebolehan;
berkedudukan tinggi dan lebih penting peranannya daripada perempuan dalam masyarakat.

(1) tanam leggundi tumbuh kelapa,
terbit bunga pucuk mati;
budi tuan saya tak lupa,
sudah terpaku di dalam hati.


(2) kapal belayar patah kemudi,
ambil bangku bawa berenang;
tuan seorang yang baik budi,
itulah sebab duduk mengenang.


(3) hutan di tepi tanahnya rata,
tanam kelapa jarang-jarang;
tuan seumpama intan permata,
taruk di kedai harga tak kurang.


ii) Memandang hina, bersangka buruk dan memperkecil-kecilkan martabat
perempuan.


(4) saya malas berhuma paya,
kerana paya banyak lintah;
saya malas berbini janda,
kerana janda banyak perintah.


(5) Cina bukan Melayu bukan,
itu bernama Jawi pekan;
saya umpama bunga di hutan,
siapa lalu tolong petikkan.


(6) ladang tebu di Bukit Berapit,
ladang berpagar kayu cendana;
pipi yang gebu berlesung pipit,
ini membawa badan merana.


iii) Perempuan dilambangkan sebagai benda atau perkara yang buruk; dan
menjadi alat / objek untuk kepuasan seksual.


(7) hangus bertih berwarna merah,
mari dituang ke dalam kain;
suami yang letih usah dimarah,
kelak terbang ke bunga lain.


(8) Cik Mahayu memakai subang,
subang bertatah permata intan;
kalau nak tahu menjinakkan kumbang,
taburkan bunga di tengah halaman.

(9) belayar masuk Kuala Kedah,
patah tiang timpa kemudi;
sekuntum bunga terlalu indah,
sekalian kumbang asyik berahi.

(10) zaman berperang Raja Berma,
peluru sampai di pucuk kayu;
seekor kumbang menyeri bunga,
kumbang terbang bunga pun layu.


iv) Stereotaip Terhadap Perempuan

(11) apa guna berkain batik,
kalau tidak dengan sujinya;
apa guna beristeri cantik,
kalau tidak dengan budinya.

(12) kayu mempoyan kulitnya manis,
patah galah di dalam paya;
orang perempuan mulutnya manis,
cakap sepatah jangan percaya.


v) Memperkecil-kecilkan atau Menganggap Peranan Perempuan Tidak Penting.

(13) jika tuan meragi kain,
ambilkan benang siratkan jala;
jika tuan mencari lain
kenang-kenang jahat saya.


(14) kalau tuan pergi ke Tanjung,
bawalah kain barang sekayu;
kalau tuan menjadi burung,
saya menjadi si ranting kayu.

Dengan contoh-contoh yang diberikan di atas, terbukti bahawa pantun Melayu mengandungi banyak unsur seksis yang lebih seksis terhadap kaum perempuan. Hal ini demikian kerana status kaum perempuan yang rendah, kurang berpendidikan, atau mungkin mereka tidak diberi peluang untuk menunjukkan kebolehan dalam dunia yang didominasi oleh kaum lelaki menjadikan mereka mangsa penggunaan bahasa seksis. Oleh yang demikian, unsur-unsur seksis dalam bahasa Melayu terutamanya pantun tidak dapat dinafikan.

Sekian, sehingga kita bertemu lagi dalam ruang siber. Insyaallah... Jangan lupa...jadikan amalan membaca sebagai amalan harian pelajar...

salam ukhwah,

cg ij

0 Komentar:

Posting Komentar

Berlangganan Posting Komentar [Atom]

<< Beranda