Hidup hanya Hayalan

Sabtu, 15 Maret 2008

Karangan Diskriptif (Contohan)

Salam sejahtera
anak-anak yang dikasihi,

Baru-baru ini, 27 murid Shuqun telah
berkunjung ke Kampung Pelegong di Negeri
Sembilan, Malaysia (8-10 Mac 2008). Mereka telah
tinggal bersama keluarga angkat selama dua malam
di sana. Karangan contoh ini 'menceritakan' sekilas
pandang tentang pengalaman mereka di sana.

"DARI KOTA KE DESA"

Semasa cuti penggal satu yang lalu, aku telah
terpilih untuk mengikuti satu program,
‘Dari Kota ke Desa’. Program ini bertujuan untuk
mendedahkan para pelajar kepada kehidupan
di kampung yang serba kaya dengan budaya
dan alam semula jadinya. Program ini disertai oleh
65 pelajar daripada tiga buah sekolah kejiranan.
(idea pokok / pengenalan)

Perasaan berdebar menyelubungi aku apabila
bas yang membawa kami bertolak dari
Sekolah Menengah Shuqun menuju ke Kampung
Pelegong, Negeri Sembilan yang jaraknya kira-kira
320 kilometer daripada Singapura. Perjalanan ini
memakan masa lebih kurang lima jam. Ketibaan
kami disambut dengan paluan kompang dan
iringan bunga manggar dan disemarakkan lagi
dengan Tarian Piring. Perasaan seronok bercampur
gembira terus melonjak-lonjak dalam hatiku.
Aku sempat berbual-bual dan bersalam-salaman
dengan penduduk kampung yang kelihatan
sangat ceria menyambut kehadiran kami semua.
(inti: SUASANA)

Selepas upacara berkenalan dan majlis taklimat,
kami diserahkan kepada keluarga angkat
masing-masing. Keluarga angkat aku ialah
Pak Haji dan Mak Hajjah. Mereka mempunyai
tiga orang anak yang kesemuanya sudah
berumahtangga. Pak Haji menjemputku pulang
ke rumahnya dengan menaiki sebuah motosikal.
Aku berasa sungguh seronok apabila angin
kampung yang nyaman menyentuh pipiku.
Pandanganku pula asyik memerhatikan keindahan
kampung yang subur dengan tumbuh-tumbuhan
yang menghijau dan bukit-bukau yang memagarinya.
Rumah keluarga angkatku terletak kira-kira dua
kilometer daripada Balai Raya Pelegong dan
berdekatan dengan Masjid Kampung Pelegong.
Rumah Pak Haji jenis rumah panggung yang
diperbuat daripada kayu. Keadaan rumahnya
bersih dan sungguh menenangkan fikiran.
( inti: TEMPAT & SUASANA)

Pada petang itu, aku berpeluang menikmati
kesegaran mandi air di kolah. Airnya dingin,
berbeza dengan air paip di bandar. Selepas
mandi, Pak Haji dan Mak Hajjah mempelawa
aku untuk minum petang dan bersembang-
sembang di amben rumahnya. Mereka mencerita-
kan kepadaku tentang pengalaman hidup di
kampung yang sungguh menawan hatiku.
Aku memberitahu mereka bahawa mak-
cikku juga orang kampung di Semenchu,
Kota Tinggi. Aku pernah tinggal di sana dan
berpengalaman menunggang motosikal dan
berpengalaman mengait buah kelapa sawit di
ladang sawit. Setelah puas bersembang, Pak Haji
dan Mak Hajjah mempelawaku makan masakan
kampung yang sungguh enak lagi menyelerakan.
( inti:PENGALAMAN)

Pada malamnya, kami diminta untuk membuat
satu persembahan budaya. Aku telah dipilih
untuk menjadi raja sehari. Pasanganku ialah
seorang pelajar perempuan dari Sekolah
Menengah Shuqun yang bernama Nur Zahira.
Zahira kelihatan anggun dan menawan apabila
berpakaian pengantin dan bersimpuh di atas
pelamin. Aku sempat menjeling ke arahnya.
Hatiku berdebar-debar dan berasa agak gusar
kerana dipertontonkan di hadapan khalayak
ramai. Ada antara rakan-rakanku yang lain diminta
untuk membuat persembahan chak lempong
dan tarian piring di atas pentas. Aku memperhatikan
persembahan mereka dengan penuh asyik. Aku
tidak menyangka sama sekali bahawa rakan-
rakanku dari Shuqun sungguh berbakat.
Pada saat itu, aku benar-benar menyanjung
tinggi budaya dan adat resam orang Melayu
yang murni lagi kaya dengan sopan santun
budi bahasanya. (inti: PERISTIWA / CERITA)

Pada keesokan harinya, kami diberi peluang
untuk mengait anak rotan. Rotan yang kami
gunakan itu lembut, tipis dan mudah dilentur.
Kami dikehendaki menghasilkan sebuah bakul
rotan yang kecil bentuknya. Aku gagal
menyempurnakannya. Rakan-rakanku yang lain
mempunyai kecekalan dan daya ketabahan
yang tinggi. Ada antara mereka yang berupaya
menghasilkan beberapa buah bakul rotan yang
sempurna dan bermutu. Aku mula sedar bahawa
hasil kerja tangan penduduk kampung seperti
bakul rotan dan makanan tradisional itu bukanlah
mudah dihasilkan. Oleh yang demikian, aku
berjanji untuk tidak menawarkan harga yang
terendah apabila ada keinginan untuk membeli
produk-produk yang seumpama itu.
(inti:AKTIVITI)

Masa begitu cemburu sekali. Tanpa aku sedari,
tiga hari telah berlalu. Dalam majlis perpisahan,
keluarga angkatku telah mengiring aku pulang
ke bas dan mengucapkan selamat berpisah.
Aku tidak dapat menahan sebak di dada. Program
‘Dari Desa ke Kota’ ini benar-benar telah meninggal-
kan kenangan manis dan mengayakanku dengan
pengalaman kehidupan di kampung. Aku mendoakan
kesejahteraan ke atas seluruh penduduk Kampung
Pelegong yang baik budi dan tinggi nilai budayanya
itu. Semoga kita dipertemukan lagi.

Kalau ada sumur di ladang,
boleh saya menumpang mandi;
kalau ada umur panjang,
boleh kita berjumpa lagi.
(inti: PENUTUP)




salam hidayah,
cg ij

1 Komentar:

Blogger zazellamartina mengatakan...

Casino Nightclub in the City - MJH Hub
Casino 남원 출장안마 Nightclub in 평택 출장안마 the City. The MGM brand's 안산 출장샵 flagship Nightclub 포항 출장샵 in the City, offers a full spectrum of nightlife, dining, theater, and entertainment from 문경 출장안마 the

3 Maret 2022 pukul 14.47  

Posting Komentar

Berlangganan Posting Komentar [Atom]

<< Beranda