Hidup hanya Hayalan

Senin, 31 Maret 2008

Pengalaman menonton Drama MAYAT

salam sejahtera
para pelajar yang dikasihi,

Ribuan terima kasih sebab sudi
menonton bersama-persembahan
Drama: MAYAT yang dipentaskan oleh
TEATER KAMI pada 28 Mac 2008
yang lalu. Saya pasti bagi pelajar
yang menonton drama di TEATER BLACK
BOX buat pertama kalinya akan terbayang-
bayang akan MAYAT yang mencari-cari
mangsanya... he..he..he...

Bagi mereka yang tidak berpeluang menonton,
saya berikan sedikit sinopsisnya.

MAYAT mengisahkan pengalaman empat
orang sahabat yang dalam kesedihan tatkala
kematian seorang daripada sahabat mereka.
Dengan keadaan kehidupan yang serba
kekurangan dan ketiadaan tanah perkuburan
untuk pengkebumian disebabkan pesatnya
pembangunan, empat sahabat itu menghadapi
masalah untuk menguruskan mayat teman
mereka. Maka terjadilah konflik dan pertentangan
pendapat antara mereka berempat. Ketika
konflik itu bertambah tegang, tiba-tiba datang
seorang peniaga yang berurusan dalam perniagaan
jual beli mayat. Dalam keadaan yang tertekan, salah
seorang daripada mereka itu bersetuju untuk
menjual mayat teman mereka itu. Tetapi usaha
ini dibantah keras oleh teman-teman yang lain
dan terjadilah pertelagahan antara mereka
dalam usaha menguruskan mayat tersebut.
Apakah yang akan terjadi kepada mayat tersebut?
Berjayakah peniaga jual beli mayat itu
membeli mayat tersebut?

Sebenarnya, TEATER KAMI suka untuk
memperkenalkan naskah-naskah teater terbaik
masa lalu untuk penonton hari ini yang tidak
berkesempatan menontonnya pada ketika itu,
mentelah lagi isu yang dikemukakan masih
lagi bersesuaian untuk diperkatakan buat masa
kini. MAYAT salah satu daripada naskah & teater
terbaik yang telah dihasilkan oleh Hatta Azad
Khan pada lewat tahun 1970'an dan amat popular
apabila dipentaskan pada awal tahun 80'an.
Begitulah ceritanya ...
Saya berharap pelajar akan
terus menonton drama-drama yang akan
datang yang akan dipentaskan oleh kumpulan
TEATER tempatan...
Akan datang...Drama: Romzi dan Juleha @ Esplanade
Studio Theatre pada 12 Julai 2008, jam 3 ptg
Jangan lupa menonton ya...

wassalam,

cg ij

Sabtu, 15 Maret 2008

Karangan Diskriptif (Contohan)

Salam sejahtera
anak-anak yang dikasihi,

Baru-baru ini, 27 murid Shuqun telah
berkunjung ke Kampung Pelegong di Negeri
Sembilan, Malaysia (8-10 Mac 2008). Mereka telah
tinggal bersama keluarga angkat selama dua malam
di sana. Karangan contoh ini 'menceritakan' sekilas
pandang tentang pengalaman mereka di sana.

"DARI KOTA KE DESA"

Semasa cuti penggal satu yang lalu, aku telah
terpilih untuk mengikuti satu program,
‘Dari Kota ke Desa’. Program ini bertujuan untuk
mendedahkan para pelajar kepada kehidupan
di kampung yang serba kaya dengan budaya
dan alam semula jadinya. Program ini disertai oleh
65 pelajar daripada tiga buah sekolah kejiranan.
(idea pokok / pengenalan)

Perasaan berdebar menyelubungi aku apabila
bas yang membawa kami bertolak dari
Sekolah Menengah Shuqun menuju ke Kampung
Pelegong, Negeri Sembilan yang jaraknya kira-kira
320 kilometer daripada Singapura. Perjalanan ini
memakan masa lebih kurang lima jam. Ketibaan
kami disambut dengan paluan kompang dan
iringan bunga manggar dan disemarakkan lagi
dengan Tarian Piring. Perasaan seronok bercampur
gembira terus melonjak-lonjak dalam hatiku.
Aku sempat berbual-bual dan bersalam-salaman
dengan penduduk kampung yang kelihatan
sangat ceria menyambut kehadiran kami semua.
(inti: SUASANA)

Selepas upacara berkenalan dan majlis taklimat,
kami diserahkan kepada keluarga angkat
masing-masing. Keluarga angkat aku ialah
Pak Haji dan Mak Hajjah. Mereka mempunyai
tiga orang anak yang kesemuanya sudah
berumahtangga. Pak Haji menjemputku pulang
ke rumahnya dengan menaiki sebuah motosikal.
Aku berasa sungguh seronok apabila angin
kampung yang nyaman menyentuh pipiku.
Pandanganku pula asyik memerhatikan keindahan
kampung yang subur dengan tumbuh-tumbuhan
yang menghijau dan bukit-bukau yang memagarinya.
Rumah keluarga angkatku terletak kira-kira dua
kilometer daripada Balai Raya Pelegong dan
berdekatan dengan Masjid Kampung Pelegong.
Rumah Pak Haji jenis rumah panggung yang
diperbuat daripada kayu. Keadaan rumahnya
bersih dan sungguh menenangkan fikiran.
( inti: TEMPAT & SUASANA)

Pada petang itu, aku berpeluang menikmati
kesegaran mandi air di kolah. Airnya dingin,
berbeza dengan air paip di bandar. Selepas
mandi, Pak Haji dan Mak Hajjah mempelawa
aku untuk minum petang dan bersembang-
sembang di amben rumahnya. Mereka mencerita-
kan kepadaku tentang pengalaman hidup di
kampung yang sungguh menawan hatiku.
Aku memberitahu mereka bahawa mak-
cikku juga orang kampung di Semenchu,
Kota Tinggi. Aku pernah tinggal di sana dan
berpengalaman menunggang motosikal dan
berpengalaman mengait buah kelapa sawit di
ladang sawit. Setelah puas bersembang, Pak Haji
dan Mak Hajjah mempelawaku makan masakan
kampung yang sungguh enak lagi menyelerakan.
( inti:PENGALAMAN)

Pada malamnya, kami diminta untuk membuat
satu persembahan budaya. Aku telah dipilih
untuk menjadi raja sehari. Pasanganku ialah
seorang pelajar perempuan dari Sekolah
Menengah Shuqun yang bernama Nur Zahira.
Zahira kelihatan anggun dan menawan apabila
berpakaian pengantin dan bersimpuh di atas
pelamin. Aku sempat menjeling ke arahnya.
Hatiku berdebar-debar dan berasa agak gusar
kerana dipertontonkan di hadapan khalayak
ramai. Ada antara rakan-rakanku yang lain diminta
untuk membuat persembahan chak lempong
dan tarian piring di atas pentas. Aku memperhatikan
persembahan mereka dengan penuh asyik. Aku
tidak menyangka sama sekali bahawa rakan-
rakanku dari Shuqun sungguh berbakat.
Pada saat itu, aku benar-benar menyanjung
tinggi budaya dan adat resam orang Melayu
yang murni lagi kaya dengan sopan santun
budi bahasanya. (inti: PERISTIWA / CERITA)

Pada keesokan harinya, kami diberi peluang
untuk mengait anak rotan. Rotan yang kami
gunakan itu lembut, tipis dan mudah dilentur.
Kami dikehendaki menghasilkan sebuah bakul
rotan yang kecil bentuknya. Aku gagal
menyempurnakannya. Rakan-rakanku yang lain
mempunyai kecekalan dan daya ketabahan
yang tinggi. Ada antara mereka yang berupaya
menghasilkan beberapa buah bakul rotan yang
sempurna dan bermutu. Aku mula sedar bahawa
hasil kerja tangan penduduk kampung seperti
bakul rotan dan makanan tradisional itu bukanlah
mudah dihasilkan. Oleh yang demikian, aku
berjanji untuk tidak menawarkan harga yang
terendah apabila ada keinginan untuk membeli
produk-produk yang seumpama itu.
(inti:AKTIVITI)

Masa begitu cemburu sekali. Tanpa aku sedari,
tiga hari telah berlalu. Dalam majlis perpisahan,
keluarga angkatku telah mengiring aku pulang
ke bas dan mengucapkan selamat berpisah.
Aku tidak dapat menahan sebak di dada. Program
‘Dari Desa ke Kota’ ini benar-benar telah meninggal-
kan kenangan manis dan mengayakanku dengan
pengalaman kehidupan di kampung. Aku mendoakan
kesejahteraan ke atas seluruh penduduk Kampung
Pelegong yang baik budi dan tinggi nilai budayanya
itu. Semoga kita dipertemukan lagi.

Kalau ada sumur di ladang,
boleh saya menumpang mandi;
kalau ada umur panjang,
boleh kita berjumpa lagi.
(inti: PENUTUP)




salam hidayah,
cg ij