Hidup hanya Hayalan

Minggu, 27 Januari 2008

Kasih Ayah dan Ibu

(syair lama yang digubah oleh Dr Lim Swee Tin)

(1) Hai segala anaknya Adam
kasihnya ibu tiada sempadan
kasihnya ayah rela berkorban
badan dan nyawa jadi taruhan

(2) Ibu mengandung sembilan bulan
lebih dan kurang tak ditentukan
lahirkan dikau berapa kesakitan
berpantang pula minum dan makan



(3) cukuplah masa sampai ketika
lahirlah engkau ke dalam dunia
barulah suka ibu dan bapa
kepada engkau sangat kasihnya

(4) Harap ibumu bukan sedikit
tinggilah harap darinya bukit
lama ibumu berasa sakit
sembilan bulan tidak berbangkit

(5) Setelah kamu sudahlah ada
siang dan malam ibumu jaga
tidur pun tidak barang seketika
makan dan minum tidak berasa

(6) Berapalah dian dengannya tanglung
diangkat dituam lalu dibedung
sudahlah jaga lalu didukung
kasih dan sayang tidak tertanggung

(7) Tidaklah tentu siang dan malam
bangun memangku di dalam kelam
terkejut jaga di tengah malam
tidur pun tidak lekat di tilam

(8) Rela ibumu menanggung hutang
kain dan baju tidak dipandang
basah di ampai kering di pinggang
di dukung galas tidak berenggang

(9) Kenang ayahmu anak bangsawan
barang katanya jangan dilawan
ibu bapamu hubungan Tuhan
baru sempurna anak budiman

(10) Hai segala anaknya Adam
kasihnya ibu tiada sempadan
kasihnya ayah rela berkorban
badan dan nyawa jadi taruhan


(Syair ini saya tujukan istimewa buat semua pelajar SHUQUN...
dengarlah nasihat guru dan ibu bapa yang tercinta...
mereka inginkan yang TERBAIK buat kamu semua...)

cg ij



Selasa, 22 Januari 2008

Projek Wawancara (Pekerjaan)






Salam sejahtera
Para Pelajar yang disayangi (3NA, 3E & 4E),
Sila rujuk lakaran penghasilan bagi
Projek Wawancara ini. Selamat mengusahakannya...
"usaha yang bermutu dan ikhlas, akan
meninggalkan kesan yang berpanjangan dan
menjadi memori indah zaman persekolahan"...

Projek Wawancara (Pekerjaan)
Peringkat: 3NA / 3E / 4E Penggal 1_ (2008)
Perhatian: Bagi Peringkat 3E / 4E, Projek
ini akan diusahakan secara INDIVIDU.

Pengenalan
Projek ini khusus bagi pelajar saya.
Objektif: 1. Memperkenalkan genre wawancara /dialog.
2. Membina keyakinan diri semasa membuat
wawancara dan mempersembahkan hasil kerja.

Persediaan (Minggu: 5-8)

1. Pelajar akan berusaha secara berpasangan
2. Pilih SATU subjek / seseorang yang mempunyai
pekerjaan tetap.
3. Lakarkan beberapa SOALAN / PERTANYAAN
yang akan ditujukan kepada SUBJEK tersebut.
lihat contoh yang disediakan di dalam
blog: Wawancara bersama Encik Ratan Singh
http://cgismailjaafar.blogspot.com/
4. Buat satu janji temu dengan SUBJEK untuk
diwawancara.
5. Catatkan apa yang diujarkan oleh subjek
berdasarkan senarai soalan yang diajukan kepadanya.
6. Kalau dapat, rakamkan beberapa keping gambar
dalam bentuk digital atau kilp video tentang subjek
yang diwawancara itu.
7. Kemas kinikan semua maklumat yang diusahakan
itu denganmenaipkannya ke dalam dokumen WORD.
8. Kemudian, naik muatkan (upload) ke dalam BLOG
peribadi anda masing-masing.

Persembahan (Minggu: 9-10)
1. Buat persembahan secara berpasangan di kelas
semasa pelajaran BM. (5 minit)
2. Siapkan slaid PPT yang mengandungi bahan/
perkara yang akan dipersembahkan.
Beberapa perkara yang dapat anda kongsi
bersama:
a) Mengapakah anda memilih subjek tersebut?
b) Apakah kesulitan-kesulitan yang anda hadapi
semasa mengusahakan projek ini?
c) Terangkan 2 pelajaran yang anda pelajari
daripada projek ini.
d) Terangkan (1) peristiwa (apa saja) yang tidak
dapat anda lupakan semasa mengusahakan projek ini.
e) Setelah mendapat sedikit maklumat tentang
beberapa bidang kerjaya dalam dunia pekerjaan,
apakah CITA-CITA anda?
f) Apakah yang akan anda lakukan untuk
memastikan bahawa CITA-CITA anda itu akan
tercapai?
3. Pastikan setiap ahli dalam pasangan itu
mempunyai peluang yang seimbang dalam
mempamerkankebolehan bertutur dan
menyampaikan sesuatu.
4. Sesi tanya-jawab.

Penilaian (Minggu: 10)
Markah akan diberikan semasa persembahan + BLOG
Kriterianya: - Isi/kandungan persembahan = 10m
- Penyampaian / kebolehan bertutur = 10m
- Hasil kerja (BLOG) = 30m

Markah projek ini akan diambil kira pada Penggal 2, 2008
Jumlah = 50m

salam murni,
cg ij

Minggu, 20 Januari 2008

Pohon yang telah Subur




Pohon yang telah subur
berdiri megah menjadi mercu tanda
kecemerlangan
Segala usaha, jerih payah
tergambar di dahan, ranting dan
dedaunan yang rimbun lagi menghijau

Satu ketika dahulu,
kau terlalu kerdil dan tidak bernilai
kewujudanmu umpama bayang-bayang malam

Dengan baja dan bimbingan sempurna,
Kau mekar dalam belaian ilmu seluas samudera
berperibadi mulia
Kini dahanmu yang rimbun
Meneduhi pengunjung daripada terik sang suria
Kanak-kanak bermain riang di perdumu
Meninggalkan nostalgia memori indah

Itulah pohon yang satu ketika dahulu akan
lentuk ditiup bayu, akarnya rapuh dimakan ulat
semaiannya tidak menjadi tanpa
sumber air yang mencukupi

Aku bangga merenung pohonku yang
tumbuh subur di tengah alam,
akarmu teguh seteguh iman seorang sahabat
ilmumu menjadi manfaat
bagi sesiapa yang berhajat

Aku doakan kau sejahtera
wahai pohon yang ku baja
semoga kau tidak lupa dari mana asalmu…

(sajak ini aku tujukan khusus kepada pelajar 4E/5N yang akan meninggalkan alam persekolahan di Shuqun)




cg ij