Hidup hanya Hayalan

Rabu, 26 September 2007

Pengalaman bersekolah di Sekolah Melayu (Singapura)









dari mana punai melayang,
dari paya turun ke padi;
dari mana datangnya sayang,
dari mata turun ke hati.

Salam sejahtera para pelajar yang tersayang,

Kali ini saya ingin berkongsi temubual saya bersama Hj Ali Md Saman tentang pengalaman beliau bersekolah di salah sebuah sekolah Melayu di Singapura. Tujuannya, supaya para pelajar dapat menimba sedikit pengalaman tentang pengajaran dan pembelajaran di sekolah Melayu ketika itu melalui kaca mata Hj Ali. Dengan demikian, saya harap pelajar lebih menghargai ilmu dan kemudahan-kemudahan yang disediakan di sekolah ini. Sila ikuti temubual ini...



Penulis: Terima kasih kepada Tuan Haji kerana sudi ditemubual tentang sekolah Melayu yang Tuan Haji ikuti di Singapura ini. Boleh Tuan Haji terangkan sejarah latar belakang persekolahan Tuan Haji di sekolah Melayu?

Hj. Ali: Pada tahun 1941, saya didaftarkan oleh orang tua saya di Sekolah Melayu
Padang Terbakar. Jadi saya mula bersekolah Melayu di Padang Terbakar
tahun 1941, darjah I. Kemudian, apabila saya lulus peperiksaan, saya

dinaikkan ke darjah II, pada tahun berikutnya. Apabila Singapura ditakluk
oleh Jepun pada tahun 1942, saya terpaksa berhenti sekolah. Semasa
pemerintahan Jepun di Singapura, keluarga saya berpindah ke kukup
Permas Kelapa di Johor. Ketika itu usia saya 8 tahun. Saya menetap
di sana hingga tahun 1945. Selepas Jepun 'surrender' lebih kurang dalam
masa 3 hari tahun 1945, saya sekeluarga pulang ke Singapura iaitu di
Kampung Jalan Hj Salam. Kemudian, saya teruskan persekolahan di
Sekolah Melayu Padang Terbakar di peringkat darjah III sehingga darjah IV.
Darjah IV merupakan peringkat yang tertinggi di sekolah itu. Dengan
demikian saya terpaksa melanjutkan persekolahan di Sekolah Melayu Telok
Kurau. Di sana saya belajar cuma setahun saja hingga darjah V. Kemudian
saya berpindah ke Sekolah Melayu Geylang di Lorong 23. Di sana saya
belajar selama 2 tahun iaitu darjah VI sehingga darjah VII. Selepas itu, saya
berjaya dapatkan pekerjaan di Woodbridge Hospital pada tahun 1955
sehinggalah saya 'retire' pada tahun 1989.

Penulis: Boleh Tuan Haji terangkan sistem persekolahan pada masa dahulu di sekolah Melayu yang Tuan Haji ikuti itu?


Hj Ali: Di Sekolah Melayu Padang Terbakar, terdapat seorang Pengetua sekolah.
Beliau tidak ada penolong pengetua atau kerani sekolah. Terdapat 4 orang
guru yang masing-masing ditugaskan mengurus dan mengajar satu darjah.
Maknanya, satu darjah, satu guru. Guru itulah yang mengajar semua subjek
bagi satu-satu kelas tu. Dari segi bilangan muridnya, terdapat kurang lebih 25
hingga 35 murid bagi setiap kelas.

Penulis: Bagaimana pendaftaran murid dilakukan?

Hj Ali: Pada masa itu biasanya ibu bapa yang mendaftarkan anak-anak mereka untuk dimasukkan ke sekolah.

Penulis: Boleh Haji terangkan sedikit tentang jadual waktu dan hari-hari cutinya di sekolah Melayu dahulu?


Hj Ali: Sekolah mula jam 7.30 pagi dan berakhir jam 12.00 tengahari. Kemudian
barulah kami dapat berehat dan pulang ke rumah. Jadual waktu bagi setiap
subjek itu tidak tetap. Ia bergantung pada subjek dan guru. Maknanya
sehingga satu subjek itu selesai diajarkan, barulah guru itu akan masuk ke
subjek yang seterusnya. Jangka masa bagi pengajaran satu-satu subjek itu
kira-kira 30 hingga 60 minit. Dalam pada itu, kami juga diberi masa 30 minit
untuk rehat. Masa itu disebut sebagai 'turun makan'. Kemudian, setiap hari
Jumaat, kami diberi cuti umum, ertinya tidak ada sekolah. Selain itu, kalau
ada 'holiday' kami pun akan 'holiday' sama. Mengenai cuti selepas
peperiksaan pula, kami diberi cuti selama seminggu.

Penulis: Boleh Tuan Hj terangkan sedikit mengenai subjek-subjek yang diajarkan di sekolah Melayu itu?


Hj Ali: Semasa di sekolah Melayu, saya belajar ilmu hisab, karangan, lukisan, ilmu
alam, senaman, menulis Jawi dan Rumi. Dalam pelajaran kira-kira, saya diajar
mengenai cupak, tael, kati, bongkang. Kegiatan luar darjahnya pula, kami
main bola sepak, 'rounders', main gasing dan lain-lain. Kegiatan-kegiatan itu
diadakan dalam seminggu dua kali.

Penulis: Bagaimana pula dengan kriteria kenaikan darjah?

Hj Ali: Semasa saya sekolah dulu, setelah tamat peperiksaan dan keputusan
diumumkan, sekiranya seseorang pelajar itu mendapat markah peratusan
keseluruhan di bawah 50%, pelajar itu tidak akan dinaikkan darjah. Dia
harus mengulangi pelajarannya lagi di peringkat yang sama. Jadi maknanya
dia kena 'stayback'. Bagi pelajar yang mendapat peratusan markah atas 50%,
akan dinaikkan darjah.

Penulis: Baik terima kasih. Boleh Tuan Haji terangkan pula cara peperiksaan dilaksanakan berapa lama jangka masa bagi satu-satu peperiksaan di sekolah Melayu itu?


Hj Ali: Ketika di sekolah Melayu dulu, peperiksaan diadakan setahun sekali. Semasa
peperiksaan akhir tahun darjah I sehingga darjah IV, soalan-soalan
peperiksaan semuanya ditulis di papan hitam. Setiap murid akan melihat
soalan-soalan tersebut dan menjawabnya di kertas jawapan. Apabila saya
berada dalam darjah V hingga darjah VII, semasa menduduki peperiksaan, setiap
murid diberikan satu set kertas soalan dan kami harus menjawabnya di kertas
soalan tersebut. Peperiksaan bagi satu-satu subjek itu lebih kurang satu jam.
Jadi, dalam masa satu jam itu kami harus selesai menjawab semua soalan
yang dikemukakan dalam kertas soalan itu. Jangka masa bagi keseluruhan
peperiksaan yang pernah saya alami itu selewat-lewatnya sampai 3 hari. Tapi
biasanya 2 hari dah selesai.


Penulis: Boleh Tuan Haji terangkan mengenai buku teks yang digunakan di sekolah Melayu dan adakah setiap pelajar itu membawa buku ke sekolah dan kalau tidak ada buku yang dibawa, bagaimana mereka belajar di dalam kelas itu?


Hj Ali: Semasa saya sekolah dulu, buku teks bacaan yang ada itu hanya dua. Satu
untuk guru dan satu untuk murid. Apabila masanya guru mengajar, satu buku
teks bacaan itu berada di tangannya dan satu lagi dikongsi oleh murid-murid.
Jadi murid-murid membacanya bergilir-gilir. Sekiranya kami tersalah baca,
guru akan membetulkannya. Tidak seperti sekarang. Satu murid ada satu
buku. Jadi dalam kelas saya itu sekiranya ada 30 murid, maka buku bacaan itu
dibaca bergilir-gilir oleh 30 orang murid. Buku teks itu disediakan oleh
Kementerian Pendidikan untuk dipinjamkan kepada pihak sekolah.

Penulis: Selain itu, apakah alat bantu mengajar yang digunakan dalam kelas?

Hj Ali: Apa yang saya ingat, guru tidak menggunakan sebarang alat bantu mengajar.
Mereka hanya menggunakan kapur putih dan papan hitam. Semua maklumat
yang hendak disampaikan itu ditulis di papan hitam.

Penulis: Boleh Haji terangkan sedikit tentang uniform di sekolah Melayu?

Hj Ali: Semasa saya bersekolah darjah I hingga darjah IV, saya tidak ada uniform
sekolah. Jadi saya pakai pakaian rumah saja. Apabila saya bersekolah di Telok
Kurau, uniformnya baju putih seluar kuning. Selepas saya tamat darjah V
Sekolah Telok Kurau, saya berpindah ke Sekolah Melayu Geylang, di situ
uniformnya berubah; baju putih, seluar hitam. Uniformnya seragam, baik
murid lelaki mahupun murid perempuan. Semasa saya darjah I, II, dan III,
saya pergi sekolah kaki ayam, tidak ada kasut. Pakaian begitu juga, tak
bergosok. Apa yang boleh dipakai, saya pakai. Seluar pun begitu juga. Saya
pakai seluar pendeklah pada masa itu.

Penulis: Boleh Haji terangkan pengalaman mengenai disiplin para pelajar di situ. Sekiranya ada pelajar yang melanggar peraturan sekolah seperti ponteng sekolah atau tidak membuat tugasan, jadi apakah tindakan yang guru ambil?


Hj Ali: Semasa saya sekolah Melayu dulu, sekiranya dalam kelas ada murid yang
tidak patuh akan perintah guru misalnya dengan buat bising, bergaduh atau
pun dia koyakkan buku kawan, cikgu akan panggil dia dan diberikan amaran
dan nasihat. Ada sesetengah guru akan suruh murid naik atas bangku, didenda
turun naik 10 kali; supaya dia sedar akan kesilapannya. Lagi satu, sekiranya
kalau murid itu masih berdegil , guru yang mengajar akan beritahu kepada
guru besar, kemudian guru besar akan panggil murid itu dan diberi nasihat
atau pun didenda. Ada yang disuruh baring, dia rotan. Tapi tidak dirotan
sekuat-kuatnya, untuk buat peringatan ssahaja. Dia pukul kat mana? Kat kita punya
punggung. Kesimpulannya, masalah disiplin di sekolah dulu tidaklah serumit
sekarang.

Penulis: Apakah pandangan Haji mengenai sikap guru dan murid di sekolah Melayu itu?

Hj Ali: Saya lihat ada guru yang mengajar tu betul-betul serius; maknanya guru itu
sungguh-sungguh dalam menyampaikan ilmu pengetahuan. Ada juga guru yang
mengajar sambil lewa ikut 'mood'nya.

Penulis: Baik, jadi dari segi sikap murid terhadap pelajaran tu bagaimana?

Hj Ali: Apa yang saya perhatikan murid-murid dulu, ialah alhamdulillahlah, tak ada
kata nak membantah ataupun cuba nak lawan guru ataupun nak ambil tindakan
terhadap guru. Apa yang guru arahkan, kami buat. Jarang murid membantah.

Penulis: Boleh Tuan Haji terangkan satu pengalaman yang tidak dapat Haji lupakan semasa belajar di sekolah Melayu selama 7 tahun?

Hj Ali
: Semasa saya darjah V di Sekolah Melayu Telok Kurau, masa itu ada seorang
guru yang namanya terpaksa saya rahsiakan. Apabila guru ni masuk kelas, murid-
murid ada yang berbual, bercakap, ketawa bising-bising. Jadi, guru marah dan
ambil tindakan terhadap kami. Jadi dia suruh kami semua bangun dan
diarahkan turun ke bawah dan beratur di padang. Apabila kami dah beratur di
padang, dia suruh kami lari 5 pusingan. Selepas peristiwa itu saya benar-benar
serik dan kisah tersebut saya ingat sampai bila-bila. Bukanlah saya berdendam,
tetapi sebagai pengajaran buat diri saya.

Penulis: Sistem persekolahan dulu dan sekarang jauh berbeza dalam pelbagai segi. Apa yang Haji inginkan (sekira dapat diadakan) ketika bersekolah di Sekolah Melayu dahulu?

Hj Ali: Dari segi kelengkapan yang ada, amat berkurangan. Contohnya, buku teks
yang disediakan cuma 2 buah sahaja. Jadi kita murid-murid cuma kita
mendengar saja apa yang disampaikan oleh guru tanpa dapat merujuk. Ini
menimbulkan masalah bagi murid-murid yang mungkin lemah daya ingatan
untuk mengingati dan memahamkan satu-satu pelajaran itu. Apabila tidak ada
buku, ulangkaji juga tidak dapat dilakukan dengan sempurna. Ini berbeza
dengan sekolah sekarang yang serba cukup lengkap. Setiap murid mempunyai
buku-buku untuk rujukan dan lakukan ulangkaji. Dengan itu dapat membantu
pemahaman dengan mudah.

Penulis: Saya ucapkan ribuan terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk ditemubual tentang pengalaman Tuan Haji bersekolah di Melayu selama 7 tahun di Singapura.

Begitulah termubual saya bersama Hj Ali Md Saman. Saya harap para pelajar mendapat manfaat daripadanya.

Kalau ada sumur di ladang,
boleh hamba menumpang mandi;
kalau ada umur panjang,
boleh kita bertemu lagi.

cg ij

Selasa, 25 September 2007

Peranan Kesenian Zapin Dalam Masyarakat Melayu

Salam sejahtera pelajar yang tersayang,

burung Nuri burung Tempua,
buat sarang di pinggir kuala;
nikmat sungguh dapat bersua,

ibarat mati hidup semula.




Peranan kesenian zapin dalam masyarakat Melayu amatlah besar dan cukup berpengaruh. Kesenian ini juga telah berjaya memperkayakan budaya dan seni masyarakat Melayu sebagai sumber hiburan; sebagai alat untuk menggalakkan perpaduan dan kerjasama sesama kaum. Tradisi kesenian zapin yang berasal-usul dari negeri Arab dan mempunyai unsur-unsur keislaman ini dinilai tinggi oleh masyarakat Melayu Johor dan dibudayakan juga oleh masyarakat Singapura, Riau dan Sumatra.

Kesenian zapin merupakan satu bentuk kesenian muzik dan tarian. Pada asalnya zapin hanya dipersembahkan oleh peserta lelaki sahaja sesuai dengan tuntutan Islam. Lagu-lagunya pula mengandungi lirik yang mengagungkan Allah, puji-pujian kepada rasul dan nasihat untuk kesempurnaan dan keunggulan akhlak. Zapin juga dipersembahkan di majlis-majlis perkahwinan, berkhatan, khatam Al-Qur'an, Maulidur Rasul dan perayaan-perayaan keagamaan.

Namun demikian, kesenian zapin di Johor, Singapura, Riau dan lain-lain kawasan di Sumatra mengekalkan tradisi Arab yang disebut zafana; di mana persembahan zapin hanya dikhususkan untuk majlis-majlis perkahwinan dan perayaan keagamaan sahaja.

Seperti yang dinyatakan, zapin lazim dipersembahkan di majlis perkahwinan. Ia menjadi sumber hiburan terpenting bagi mempelai, kaum keluarga, sanak-saudara dan para tetamu yang hadir. Persembahan ini akan bermula pada waktu malam dan biasanya selesai pada dinihari sebelum waktu Subuh. Kawasan beranda rumah atau pelantar sementara yang berfungsi sebagai pentas disediakan bagi persembahan zapin. Penari zapin dan pemain zapin yang semuanya terdiri daripada kaum lelaki akan bersama-sama mempersembahkan tarian dan muzik zapin. Mereka juga akan mengundang beberapa orang tetamu di majlis perkahwinan itu untuk bersama-sama memeriahkan persembahan tersebut. Secara tradisi, persembahan zapin tidak melibatkan penari dan pemain perempuan. Ini sesuai dengan tuntutan agama Islam yang melarang kaum lelaki dan kaum perempuan bergaul secara bebas dalam majlis seumpama itu. Namun demikian, kaum perempuan dibenarkan menyaksikan persembahan zapin sebagai penonton yang duduk di belakang barisan penonton lelaki .

Selain itu, tarian dan muzik zapin juga berperanan sebagai sumber hiburan kepada rakyat jelata. Zapin yang pada mulanya menjadi seni tradisi tinggi yang dibudayakan oleh golongan bangsawan dan golongan pemerintah mula mendapat ruang di hati masyarakat umum apabila kesenian zapin ini diajarkan kepada rakyat jelata oleh golongan istana. Oleh yang demikian, zapin telah menjadi hiburan rakyat di mana setiap lapisan masyarakat tidak kira peringkat umur dan kedudukan sosial, sama-sama terlibat secara langsung sama ada menjadi pemain zapin; penari zapin atau penonton zapin di desa dan bandar.

Secara peribadi, untuk melestarikan seni tarian dan muzik zapin dalam zaman di mana masyarakat Melayu mempunyai banyak pilihan dalam dunia hiburan, seni zapin harus bersedia membuat sedikit pengorbanan. Ini dapat dilakukan dengan menyesuaikan atau menggabungkan unsur-unsur tarian dan muzik tradisi Melayu yang lain yang lebih digemari oleh masyarakat Melayu umumnya.


Jika masyarakat Melayu lupa akan jatidiri dan memandang remeh akan tradisi dan warisannya, maka mereka akan terpinggir daripada laluan budaya itu sendiri. Dengan secara tidak langsung, budaya kesenian zapin akan turut terpinggir jauh daripada kehidupan masyarakat Melayu dan tidak lagi berperanan seperti yang diharapkan. Kesenian zapin yang telah menjadi teras kepada kebudayaan masyarakat Melayu sejak turun-temurun dikhuatiri akan pupus ditelan zaman.

Kau Terpaksa Berlumba


Kau terpaksa berlumba
esok dan seterusnya, satu lagi perlumbaan
yang mesti disempurnakan

kau tiada pilihan
semua orang tahu inilah jalan
kebahagiaan dan kesempurnaan masa depan

tetapi, bagaimana kau dapat berlumba
tanpa cukup persediaan?
pasti akan tercedera atau mungkin rebah dan kecundang

hasilnya cuma sekeping kertas
tertera aksara kesungguhan dan kelalaian
ketika itu pasti ada wajah gembira dan kecewa
namun perjalanan mesti diteruskan
belajarlah kau daripada kesilapan silam

mengimbas usaha jerih menjadi seorang pemburu ilmu
yang tidak pernah jemu
demi membela maruah diri, bangsa, dan kepercayaanmu

cg ij

(sajak ini ditujukan khusus buat para pelajar Shuqun yang tersayang...)

Kamis, 20 September 2007

Seksisme Dalam Pantun Melayu


Salam sejahtera para pelajar yang disayangi,


Kali ini saya ingin berkongsi tentang seksisme yang terkandung dalam pantun Melayu.


Sebelum saya meneruskan perbincangan, bolehkah kita katakan bahawa bahasa itu bersifat seksis? Sebenarnya jawapan bagi persoalan tersebut sangat subjektif. Ini kerana yang bersifat seksis itu ialah penutur bahasa itu sendiri. Pada satu pihak yang lain pula bahasa itu bersifat seksis kerana masyarakat kini telah menerima kekata , frasa atau ayat bagi kegunaan dalam bahasa tersebut.


Kita boleh katakan bahawa bahasa seksis itu ialah bahasa yang memihak kepada sesuatu jantina atau yang memburuk-burukkan sesuatu jantina, sikap ini lebih cenderung kepada sikap tidak adil terhadap kaum wanita dan lebih mengutamakan kaum lelaki.


Seperti mana yang kita ketahui, pantun merupakan antara antara alat perhubungan yang sangat digemari dan digunakan oleh setiap lapisan masyarakat daripada raja sampai kepada hamba sahaya satu ketika dahulu. Hubungan pantun dengan masyarakat Melayu amat mesra dan erat sekali. Ini terbukti penggunaannya dalam majlis-majlis peminangan, nikah kahwin; dendangan rakyat; sebagai hiasan dan bunga bahasa dalam ucapan rasmi dan sebagainya. Oleh sebab penggunaannya yang begitu meluas dalam kalangan masyarakat Melayu, pantun telah membentuk sebahagian daripada bahasa basahan seharian penutur Melayu.


Perkara yang menarik perhatian dalam sejumlah pantun yang dikumpulkan adalah tentang penggunaan kata ganti nama tuan dan puan. Penggunaan kata ganti nama tuan ini sering digunakan bagi merujuk perkara-perkara yang umum dan tertentu; sifat dan sikap manusia dan lain-lainnya. Jika dibandingkan dengan penggunaan kata ganti nama puan, bilangannya amat terbatas. Satu lagi perkara, dalam kumpulan pantun Melayu peranan lelaki lebih dominan dan lebih penting dalam segala bidang jika dibandingkan dengan peranan perempuan dalam masyarakat Melayu. Kaum lelaki juga dihormati dan disanjung tinggi di atas kebolehan dan keelokan budi mereka. Dengan itu, kewujudan perempuan itu digambarkan sebagai bayangan sahaja, bersifat lemah dan mereka sentiasa mengharapkan perlindungan daripada kaum lelaki dalam semua situasi. Ini dapat dibuktikan dengan contoh-contoh pantun di bawah ini.


i) Lelaki digambarkan sebagai genus yang dominan; lebih berkebolehan;
berkedudukan tinggi dan lebih penting peranannya daripada perempuan dalam masyarakat.

(1) tanam leggundi tumbuh kelapa,
terbit bunga pucuk mati;
budi tuan saya tak lupa,
sudah terpaku di dalam hati.


(2) kapal belayar patah kemudi,
ambil bangku bawa berenang;
tuan seorang yang baik budi,
itulah sebab duduk mengenang.


(3) hutan di tepi tanahnya rata,
tanam kelapa jarang-jarang;
tuan seumpama intan permata,
taruk di kedai harga tak kurang.


ii) Memandang hina, bersangka buruk dan memperkecil-kecilkan martabat
perempuan.


(4) saya malas berhuma paya,
kerana paya banyak lintah;
saya malas berbini janda,
kerana janda banyak perintah.


(5) Cina bukan Melayu bukan,
itu bernama Jawi pekan;
saya umpama bunga di hutan,
siapa lalu tolong petikkan.


(6) ladang tebu di Bukit Berapit,
ladang berpagar kayu cendana;
pipi yang gebu berlesung pipit,
ini membawa badan merana.


iii) Perempuan dilambangkan sebagai benda atau perkara yang buruk; dan
menjadi alat / objek untuk kepuasan seksual.


(7) hangus bertih berwarna merah,
mari dituang ke dalam kain;
suami yang letih usah dimarah,
kelak terbang ke bunga lain.


(8) Cik Mahayu memakai subang,
subang bertatah permata intan;
kalau nak tahu menjinakkan kumbang,
taburkan bunga di tengah halaman.

(9) belayar masuk Kuala Kedah,
patah tiang timpa kemudi;
sekuntum bunga terlalu indah,
sekalian kumbang asyik berahi.

(10) zaman berperang Raja Berma,
peluru sampai di pucuk kayu;
seekor kumbang menyeri bunga,
kumbang terbang bunga pun layu.


iv) Stereotaip Terhadap Perempuan

(11) apa guna berkain batik,
kalau tidak dengan sujinya;
apa guna beristeri cantik,
kalau tidak dengan budinya.

(12) kayu mempoyan kulitnya manis,
patah galah di dalam paya;
orang perempuan mulutnya manis,
cakap sepatah jangan percaya.


v) Memperkecil-kecilkan atau Menganggap Peranan Perempuan Tidak Penting.

(13) jika tuan meragi kain,
ambilkan benang siratkan jala;
jika tuan mencari lain
kenang-kenang jahat saya.


(14) kalau tuan pergi ke Tanjung,
bawalah kain barang sekayu;
kalau tuan menjadi burung,
saya menjadi si ranting kayu.

Dengan contoh-contoh yang diberikan di atas, terbukti bahawa pantun Melayu mengandungi banyak unsur seksis yang lebih seksis terhadap kaum perempuan. Hal ini demikian kerana status kaum perempuan yang rendah, kurang berpendidikan, atau mungkin mereka tidak diberi peluang untuk menunjukkan kebolehan dalam dunia yang didominasi oleh kaum lelaki menjadikan mereka mangsa penggunaan bahasa seksis. Oleh yang demikian, unsur-unsur seksis dalam bahasa Melayu terutamanya pantun tidak dapat dinafikan.

Sekian, sehingga kita bertemu lagi dalam ruang siber. Insyaallah... Jangan lupa...jadikan amalan membaca sebagai amalan harian pelajar...

salam ukhwah,

cg ij

Selasa, 18 September 2007

Pantun Budaya




salam sejahtera pelajar yang disayangi,

Sila nikmati pantun ini.


Pantun

1 pucuk muda bagai dicita
buah mangga dalam perahu
orang muda bermain cinta
orang tua menanggung malu

2 ke sawah menanam padi
rehat makan di tengah bendang
elok budi, elok pekerti
kelak hidup disanjung orang


3 hinanya besi kerana karat
indah bahasa dalam perbualan
biar miskin biar melarat
budi bahasa jadi amalan

4 harum sungguh si Bunga Tanjung
mekar indah di dalam taman
bahasa dijunjung budaya disanjung
mekar harapan sepanjang zaman



salam ramadhan,


cg ij



Kamis, 13 September 2007

Lawatan ke Melaka

jeling-jeling pandang memandang,
waktu senja duduk di bendang;
betapa indah mata memandang,
jauh berjalan luas pemandangan.

Salam sejahtera pelajar,
Selamat bertemu sekali lagi dalam ruang maya. Kali ini saya ingin berkongsi satu kegiatan tentang lawatan pelajar-pelajar menengah 3 ke Melaka pada bulan Mei, 2007 yang lalu. Sila timba pengalaman rakan-rakan anda itu dengan membaca catatan perjalanan di bawah ini.

Saya bersama rakan-rakan dari kelas 3E dan 3NA telah melawat Melaka pada 26 hb Mei 2007. Kami ke sana bersama empat guru Shuqun, iaitu Encik Tay, Puan Pearly Lau, Cg Ismail dan Cg Khatijah.

Kami tiba di Gelang Patah pada pukul lapan pagi untuk bersarapan dan berehat seketika. Pada jam 12 tengah hari, kami tiba di Planetarium Al-Khawarizmi. Setibanya kami di sana, kami terus menuju ke kafeteria untuk makan tengah hari. Di situ terdapat bilik sembahyang, kafeteria, panggung wayang 3-D dan sebagainya. Kira-kira dua jam kemudian, kami meneruskan perjalanan ke makam Hang Tuah. Kami berkesempatan melihat makam Hang Tuah dan mempelajari sedikit sebanyak tentang sejarah Hang Tuah. Genap jam lima petang, kami bertolak ke Hotel Grand Continental. Saya dan Atiqah telah ditempatkan dalam bilik hotel yang sama. Kami telah diberi masa untuk membersihkan diri dan juga berehat kerana pada waktu malam kami akan ke Umbai untuk menikmati makanan laut seperti ikan, udang, sotong dan sebagainya.

Apabila kami pulang ke hotel pada pukul 10 malam, kami telah ke bilik Encik Tay untuk menyanyi bersama-sama dan juga untuk mengenali antara satu sama lain dengan lebih mesra lagi. Kemudian, kami diberi kebebasan untuk berehat di bilik masing-masing. Saya dan rakan-rakan saya yang lain telah menghabiskan masa kami berbual-bual mesra.

Pada keesokan harinya, kami harus bangun awal, kira-kira pukul tujuh pagi untuk bersarapan pagi. Selepas itu, kami terus menaiki bas untuk menuju ke Tropical Fruit Farm. Kami telah mempelajari tentang berbagai jenis buah-buahan yang terdapat di sana. Pada pukul 12 tengah hari, kami telah pergi ke Perigi Hang Tuah. Kemudian, kami bertolak ke Taman Mini Malaysia pula.

Kami berpeluang menonton satu persembahan tarian yang amat menghiburkan. Para penari berjaya memikat hati para penonton dengan tarian mereka yang unik itu. Saya dan beberapa orang kawan saya telah diundang ke pentas untuk menari bersama para penari tersebut. Pada mulanya, kami berasa agak malu tetapi akhirnya kami berasa seronok sekali.

Saat-saat yang saya nanti-nantikan akhirnya tiba juga. Destinasi terakhir kami ialah sebuah pusat membeli-belah di Pahlawan Mall. Kami diberi tiga jam untuk membeli-belah. Setelah membeli-belah, kami pun berkumpul semula dan meneruskan perjalanan untuk pulang ke Singapura.

Saya dan rakan-rakan telah menimba banyak pengalaman. Banyak peristiwa manis yang telah saya lalui. Darmawisata ini telah memperkayakan pengetahuan saya dalam mendalami budaya dan kesenian Melayu. Kini saya seakan seorang jauhari yang mengenal manikam.


Dilaporkan oleh :
Siti Aisyah Bte Abdul Majid

Sekian, harap kita akan berpeluang merantau lebih jauh lagi pada masa-masa mendatang. Selamat menghadapi peperiksaan akhir tahun. Semoga pelajar semua sudahpun membuat persediaan yang rapi.

kalau ada jarum yang patah,
jangan simpan dalam peti;
kalau ada silap dan salah,
jangan simpan di dalam hati.

Salam sayang,
cg ij

Rabu, 12 September 2007

YESCOM 2007




Salam sejahtera pelajar.

Berjumpa kita sekali lagi dalam ruang maya. Kali ini, saya suka berkongsi tentang pengalaman rakan-rakan anda yang terlibat dalam peraduan YESCOM - Young Entrepreneur Skills Competition. Mari kita baca apa yang mereka coretkan...

Kami ingin berkongsi satu pengalaman yang amat menarik semasa menyertai peraduan YESCOM (Young Entrepreneur Skill Competition) beberapa bulan yang lalu. Peraduan ini bertujuan untuk menyediakan dan mendedahkan peserta kepada dunia keusahawanan.

Sebelum acara Grand Finale di HDB HUB pada 1 July, terlebih dahulu kami diwajibkan menyertai seminar, bengkel dan ‘on-the-job assignment’ di mana peserta akan dibimbing dan diajar tentang cara-cara untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Sekolah Menengah Shuqun diwakili oleh Philip, Irene, Dinna, Marissa, Nur Hairinni, Nur Fadilah, dan Nurshifah. Namun demikian, rakan-rakan Shuqun yang lain ada juga yang membantu. Mereka memainkan muzik secara ‘live’ di gerai, menghiaskan gerai dan membantu dari segi menghasilkan produk-produk yang dijual.

Antara barangan yang kami jual ialah buku Hearts of Shuqun yang dihasilkan oleh para guru dan pelajar Shuqun, lilin yang bersinar di dalam gelap dan kraf yang diperbuat daripada kayu.

Kami berharap menjuarai YESCOM walaupun ini merupakan kali pertama kami mengambil bahagian. Namun harapan kami hampa. Kami hanya berjaya mendapat tempat kesebelas daripada sejumlah 30 buah sekolah dan persatuan remaja yang menyertai peraduan ini. Sungguhpun begitu, kami sangat berpuas hati dengan pencapaian kami sejauh ini. Kami telah berikan yang terbaik dan telah mempamerkan semangat perjuangan yang tinggi. Kini kami lebih berkeyakinan dalam apa jua yang kami lakukan. Ibarat pepatah Melayu, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.”


Itulah pengalaman yang cukup terkesan bagi mereka. Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas kerja keras dan usaha mereka yang tanpa jenuh itu. Akhir sekali hayatilah pantun ini...

dari mana hendak ke mana,
tinggi rumput dari padi;
hari mana bulan yang mana,
dapat kita bertemu lagi.

bintang Barat terbit petang,
bintang Timur terbit pagi;
jika tidak melarat panjang,
ada umur ketemu lagi.

salam sayang,
cgIJ

Bahasa Slanga

yang kurik itu kundi,
yang merah itu saga;
yang elok itu budi,
yang indah itu bahasa.



Salam sejahtera pelajar,
Kali ini saya ingin berkongsi tentang bahasa slanga. Perkataan slanga berasal daripada perkataan slang (bahasa Inggeris). Berkemungkinan juga slang terbentuk daripada frasa secret language. Jadi apabila disingkatkan (diakronimkan) menjadi slang.

Menurut Kamus Dewan, slanga didefinisikan sebagai "kata-kata, ungkapan dan seumpamanya yang tidak tergolong dalam bahasa baku atau bahasa tinggi tetapi lazim digunakan dalam percakapan tidak rasmi".

Untuk membantu pelajar memahaminya, saya ingin menukil tulisan Dr Teo Kok Seong dalam satu artikel keluaran Dewan Bahasa. Seorang pelajar sekolah menengah yang didapati membawa pisau ke sekolah telah dirujuk kepada guru besar oleh guru disiplin. Pengetua sekolah yang berusia dalam lingkungan 50-an itu bertanya tentang sebab pelajar tersebut membawa pisau ke sekolah. Pelajar tersebut menjawab, "Ada orang hendak pukul saya.”

Pengetua kemudiannya bertanya lagi kepada pelajar tersebut. “Bagaimanakah awak tahu?” Pelajar tersebut menjawab, “member sound.” Pengetua tidak dapat memahami maksud sebenar jawapan yang diberikan oleh pelajar tersebut walaupun beliau memahami kedua-dua perkataan Inggeris yang diungkapkan itu. Dalam keadaan bingung beliau bertanya, “Apa?” Pelajar berkenaan berkenaan mengulangi jawapan yang sama. Namun, pengetua masih tidak memahami maksud pelajar tersebut. Lalu, dengan nada yang keras beliau bertanya, “Awak bercakap dalam bahasa apa?” Akhirnya, seorang guru disiplin yang berusia dalam lingkungan lewat 20-an memberitahu pengetua bahawa maksud pelajar tersebut ialah “kawan beritahu”. Setelah memahaminya, pengetua merungut lalu berkata, “Cakaplah begitu, mudah difahami.”

“Member sound” yang tidak mudah difahami oleh semua golongan merupakan salah satu contoh slanga. Mungkin pelajar boleh fikirkan beberapa contoh perkataan slanga yang sering pelajar gunakan semasa berkomunikasi dengan rakan-rakan di sekolah dan di luar sekolah.

Semasa zaman persekolah saya dahulu, saya pernah menggunakan perkataan "gian" yang bererti ketagih; "kemut" - lokek; "timing" - sombong; dan "jambu" - cantik. Kemungkinan perkataan-perkataan itu masih digunakan lagi dan mungkin juga tidak. Misalnya, perkataan "power" yang bermaksud hebat, handal, bertenaga, baik sekali dsb, sering kita dengar daripada remaja apabila mereka ingin mengatakan makanan itu sedap atau pemain bolasepak itu hebat dsb. Begitu juga dengan perkataan "mengancam" yang bererti menggoda, sangat menarik, memikat hati dsb.

Bahasa slanga yang dituturkan oleh sekumpulan remaja atau masyarakat itu hanya dapat difahami oleh kumpulan tertentu sahaja. Jika pelajar tidak tergolong dalam kumpulan itu, mungkin sukar untuk pelajar memahaminya.

Cukuplah buat masa ini. Sebenarnya tujuan saya membicarakan bahasa slanga ini adalah untuk memberi sedikit kesedaran kepada pelajar supaya berhati-hati apabila memanfaatkan bahasa. Pelajar juga perlu tahu membezakan yang mana bahasa Melayu yang formal dan yang tidak formal. Dalam hal ini sudah tentu bahasa slanga ini tergolong dalam bahasa yang tidak formal dan berstatus rendah. Hal ini penting kita ketahui apabila menduduki peperiksaan lisan.

Jadi, pandangan saya selagi penggunaan slanga tidak berleluasa, maka kewujudannya tidaklah menjejaskan kedudukan sesuatu bahasa.