Hidup hanya Hayalan

Kamis, 25 Oktober 2007

Catatan buat seorang Penyelia










Keheningan dinihari mengundang
Kenangan seorang penyelia yang mulia

Yang sopan lagi arif budiman,
Yang sentiasa prihatin akan
Kebajikan anak didik dan orang bawahan,
Yang berilmu dan berwawasan,
Yang berbudaya lagi lembut tutur kata,
Yang berwibawa tetapi tunduk seperti padi,
Yang berkhidmat tanpa meletakkan sempadan,
Yang menjadi tauladan dan ikutan
remaja, rakan taulan dan teman seperjuangan

Kehadiranmu dapat aku rasakan,
Kata-katamu sungguh meninggalkan kesan,
Pemergianmu sungguh satu kehilangan
Sumbanganmu tumbuh mekar di taman
peribadi mulia Shuqinite yang
hidup dalam dunia
tanpa sempadan

menjunjung budi atas jasamu,
kesejahteraan atas pelayaranmu
di atas bahtera Keming
yang mencari arah kehidupan,
berkat cekal, tabah, sabar dan yakin
teruskan wahai nakhoda mulia
moga kau sampai di pelabuhan
kesempurnaan…


(Sajak ini ditujukan khas buat Naib Pengetua, Mr Kelvin Tay
yang akan meninggalkan Sekolah Menengah Shuqun dan
meneruskan perkhidmatannya di Sekolah Rendah Keming
sebagai Pengetua di sana)
salam perpisahan,
cg ij

Selasa, 23 Oktober 2007

Wawancara bersama Encik Ratan Singh tentang Pengalaman Kerjaya (Pegawai Polis Pelabuhan PSA)











Terima kasih Saudara Ratan Singh sebab memberi
saya peluang untuk mewawancara saudara tentang
kerjaya yang pernah saudara ceburi iaitu sebagai
Pegawai Polis Penguasa Pelabuhan Singapura (PSA).

1 Bilakah kali pertama saudara mula bekerja sebagai

pegawai polis pelabuhan? Adakah ini pilihan saudara?

Saya mula berkhidmat dengan PSA sebagai Pegawai Polis

Pelabuhan pada 11 Ogos 1970. Ya, ini memang kerjaya
pilihan saya.


2 Mengapa saudara memilih kerjaya sebagai pegawai

polis pelabuhan?

Saya memilih kerjaya dengan Polis PSA sebab ketika

itu gaji yang ditawarkan oleh pihak PSA lebih tinggi
berbanding dengan gaji yang ditawarkan oleh
Angkatan Polis Singapura.


3 Jika tidak keberatan, harap saudara dapat terangkan

sedikit tentang tugas harian saudara di PSA.
(misalnya, apa yang saudara lakukan apabila saudara
mula masuk bertugas setiap hari…)


Tugas utama saya adalah untuk memastikan undang-undang

dan peraturan- peraturan di pelabuhan dipatuhi oleh semua
pihak. Saya bertanggungjawab untuk memeriksa individu,
kenderaan barangan dan kontainer yang masuk dan keluar
dari/ke pelabuhan. Semua prosedur tersebut memerlukan
dokumen yang sah, pasport, buku catatan pelaut dan pass untuk

memasuki PSA.

Setelah bertahun-tahun berkhidmat, saya menerima kenaikan

pangkat sebagai Staff Sergeant. Dengan ini, tugas saya semakin
mencabar kerana saya harus menyelia dan memantau sekumpulan
konstabel yang ditugaskan di beberapa kawasan di pelabuhan.

Semasa melaporkan diri untuk bertugas, saya akan berpakaian

seragam polis, lengkap dengan senjata api, baton, alat
perhubungan-walki talki. Saya bertugas di mana-mana di
kawasan pelabuhan PSA. Bergantung di mana perkhidmatan
saya diperlukan. Ada kalanya saya diarahkan untuk bertugas di
Bilik Operasi Markas, melakukan tugas-tugas rondaan, bertindak

sebagai ketua di Pusat Pemeriksaan barangan (Keppel Terminal,
Container Terminal, Brani Terminal, Pasir Panjang Terminal).

Saya juga bertanggungjawab untuk melakukan ‘roll-call

atau mengambil kedatangan konstabel-konstabel di
bawah penyeliaan saya. Sebelum mereka memulakan tugas,
saya memberi mereka taklimat ringkas tentang tugas yang
harus mereka sempurnakan pada hari tersebut.


4 Pernahkah saudara mengalami kesulitan semasa

bertugas. Jika ada, harap saudara boleh berkongsi
pengalaman tersebut dengan saya.

Pernah juga. Saya pernah mengalami kesulitan dengan

para pengguna pelabuhan dan personel di bawah
penyeliaan saya. Sungguhpun demikian, saya berupaya
mengatasi kesulitan tersebut. Hal ini demikian kerana saya
telah mengikuti kursus “Menangani Pelanggan yang Cerewet”.

Kemahiran yang saya timba sangat-sangat membantu saya
dalam menangani karenah pelanggan dan bertindak dengan
sewajarnya di dalam situasi-situasi yangmencabar. Saya
lakukan ini semua dengan penuh kesabaran dan sejajar
dengan apa yang ditetapkan oleh majikan saya.


5 Ceritakan satu pengalaman yang tidak dapat saudara
lupakan semasa berkhidmat sebagai pegawai polis PSA.

Satu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan…”Kita mesti
mendengar dengan teliti apabila menerima pesanan atau
apa saja yang diberitahukan kepada kita dan bertanya
jika berasa kurang pasti tentang pesanan tersebut”

Tentang peristiwa ini, ketika itu saya sedang mengendalikan
Bilik Operasi Markas (HQ) bersama seorang koperal wanita.
Beliau menerima panggilan daripada Divisyen Radio Polis
bahawa sebuah treiler PSA telah terlibat dalam satu
kemalangan di koswe. (Di PSA, terdapat ‘causeway’ yang
menghubungkan Pelabuhan Pusat dengan Terminal Brani).

Dengan segera rakan kerja saya telah mengerahkan Pegawai
Ronda (S/Sgt Ismail b. Leman) ke Terminal Brani untuk
menyiasat akan kemalangan tersebut. Setelah berada di situ,
beliau dapati tidak ada apa-apa kejadian yang berlaku. Beliau
menghubungi saya dan melaporkan keadaan yang sebenar.

Kemudian, saya langsung menghubungi Divisyen Radio Polis
untuk mengesahkan laporan itu. Mereka memberitahu saya
bahawa kemalangan itu sebenarnya berlaku di Koswe Woodlands.
Treiler PSA yang terlibat dalam kemalangan itu sedang diletakkan
di laluan Koswe Woodlands menghala ke Singapura.

Maklumat yang saya terima ini telah menyebabkan pihak PSA

mengambil tindakan yang berbeza. Kemudian, saya
menasihatkan rakan kerja saya supaya lebih berhati-hati
apabila menerima sebarang pesanan dan belajar daripada
kesilapan.


6 Pernahkan saudara menyesali memilih kerjaya sebagai

pegawai polis pelabuhan PSA?

Tidak. Saya tidak pernah berasa sesal berkhidmat sebagai

pegawai polis pelabuhan.


7 Adakah saudara berasa bangga berkhidmat dengan PSA?

Pernahkah saudara diberi pengiktirafan semasa tempoh
perkhidmatan?

Ya. Saya ada pengalaman yang membanggakan apabila saya

mendapat kenaikan pangkat mula daripada pegawai konstabel
hingga ke pangkat staf sarjan. Saya bersara daripada
perkhidmatan pada 4 Januari 2005 setelah berkhidmat setia
selama lebih 34 tahun dengan PSA. Saya juga menerima
Pingat Kelakonan Cemerlang dan Pingat Tempoh Perkhidmatan

(Long Service Award)


8 Kini, saudara bertugas di sekolah. Bagaimana saudara

membandingkannya dengan tugas saudara sebagai
pegawai polis pelabuhan PSA.

Semasa bertugas sebagai pegawai polis pelabuhan, saya
berurusan dengan orang awam, pekerja dewasa, masyarakat
tempatan dan masyarakat luar negara. Ada antara mereka yang
pernah terlibat dalam jenayah dan daripada kumpulan yang jahat.
Di sekolah, saya berurusan dengan para pelajar yang saya

anggap macam anak saya sendiri. Mereka perlu dibimbing
dan diajar tentang nilai-nilai yang murni. Kadang kala saya
juga memberikan nasihat kepada mereka.

Apa yang telah saya pelajari dan alami di PSA amat berguna
sekali. Saya berupaya mengaplikasikannya di sekolah. Kadang
kala saya perlu bersikap sabar dan cuba memahami sikap para
pelajar yang menguji kesabaran saya.


9 Berikan pandangan saudara tentang Sekolah Shuqun,
guru-guru dan pelajar- pelajarnya. Harap saudara dapat
berikan pandangan yang ikhlas.

Sekolah Menengah Shuqun ini sangat indah dengan tamannya

yang menghijau. Semua guru, naib pengetua, pengetua dan
personel yang bertugas di sini sangat baik hati. Saya kagum
dengan kesabaran dan daya ketahanan yang tinggi yang
ditunjukkan oleh para guru di sini. Mungkin mereka telah
menjalani latihan yang berkesan semasa menjadi guru pelatih
sedikit masa dahulu.

Kebanyakan pelajar di sini berkelakuan baik. Ada yang sopan,
menunjukkan sikap hormat, dan mendengar kata. Ada juga
yang nakal dan sering melanggar peraturan sekolah. Saya
berharap mereka akan berubah sikap pada satu masa nanti.


(Ribuan terima kasih saudara Ratan sebab sudi diwawancara bagi
manfaat pelajar-pelajar Shuqun. Sesungguhnya, pengalaman yang
saudara Ratan kongsi bersama ini dapat memperkayakan lagi
pengalaman mereka bersekolah di sini.)

Senin, 15 Oktober 2007

Kenangan buat rakan guru yang Tersayang



satu hari yang tidak diduga,
kau kelihatan resah
meminta masa mendengar,
haluan kehidupanmu beralih arah,
rasanya sukar untukku terima
hakikatnya, kau bertekad bulat
ke Edmonton Alberta Kanada

kini, yang tinggal hanya memori indah
menjadi teman setia waktu senggang di sekolah

bermula dengan sarang buaya, Negeri Gajah Putih
yang menyerlahkan sebuah bandaraya ternama,
Chiengmai yang tersergam indah,

dikelilingi gunung-ganang dipayungi awan,
kita terus menyusuri liku-liku
peninggalan silam di Negeri Melaka yang bersejarah
dengan satu tujuan,

memperkaya anak didik negara;
membentuk peribadi remaja berakhlak mulia

ke Ayuthia pernah juga,
bergambar dan bermesra,
bersiar-siar sambil bersembang

dalam bot air di sungai Chao Phraya
menikmati keindahan alam semesta sewaktu fajar menyingsing,
mempelajari satu kehidupan yang sengsara,
mempelajari budaya kehidupan insan
melayari suka duka perjuangan

mengharapkan simpati pembeli

suatu masa, ke Batam berdiskusi pula

perihal sekolah; melentur pemikiran,
menyemai nilai murni dan budaya
adab yang terpuji pada
anak watan yang alpa akan
maksud kehidupan yang sementara

masa begitu cemburu,
yang tinggal hanya sisa waktu perpisahan
yang tidak menjanjikan satu lagi pertemuan

semoga sejahtera kau sekeluarga
semoga kerasan di sana
semoga dunia mu lebih hijau sehijaunya
dedaunan di taman

sahabatku... semoga kau bertemu akan impianmu...







(istimewa buat rakan guruku Ms Pearly Lee yang telah berhijrah ke Edmonton, Alberta, Canada…)


salam perpisahan,

cg ij

Kamis, 11 Oktober 2007

Selamat Tinggal Ramadhan 1428 hijrah...


rasanya baru semalam kau berkunjung
ketika suasana mendung di senja hari
aku menjemput mu mesra dengan
senyuman seorang kekasih

tetamu yang lama menghilang kini
kembali membawa Nur keimanan
makfirah dan kesejahteraan

Ramadhan, kata mu kau akan setia
mengapa aku ditinggalkan
dalam kesepian ketika cinta
terasa hangat dalam dakapan malam...

kini lebaran hampir menjelang
tangisan gema takbir mengisi ruang
apakah hijrah 1429 menjanjikan satu lagi
pertemuan bersama mu?
hanya takdir yang menentukan...


(sajak ini aku tujukan khusus buat semua pelajar Shuqun yang telah berjaya melentur keimanan dalam menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadhan 1428)

salam keimanan,

cg ij

Selasa, 09 Oktober 2007

Kehidupan yang Rapuh







Semalam, aku lihat kau ceria bergurau senda
dan ketawa
duniamu bermandikan cahaya keseronokan


hari ini, rona mu muram
seakan kau lemas di samudera dalam
tiada bicara pengubat luka
insan yang UNGGUL melangkah pergi
meninggalkan segunung harapan dan kenangan
jiwamu meruntun kesedihan dan kesepian,
sungguh tidak tertahan

di pundak mu, beban menanti silih berganti
sungguh, sungguh, kehidupan ini sangat rapuh
sungguh, sungguh, kehidupan ini satu ujian
sungguh, sungguh, kehidupan ini satu ketentuan

tabahlah dikau,
sabarlah dikau,
redhalah dikau,

yakinlah dikau ... meneruskan liku-liku kehidupan
yang pasti ... penghujungnya hanya KEMATIAN

(buat salah seorang pelajarku yang menghadapi musibah yang cukup menguji kesabaran...)
salam kemanusiaan
cg ij



Pantun Nasihat



kata-kata hikmah:

Adab dan sopan itu lebih penting daripada makan dan minum.
(Aristotle).

Kata-kata yang lemah lembut dan beradab dapat melembutkan hati
manusia yang keras. (Hamka)


1 kalau sungguh bagai dikata,
inai dijari tanda setia;
indah sungguh si gadis jelita,
cincin dijari siapa yang punya?


2 berakit-rakit ke hulu,
berenang-renang ke tepian;
bersakit-sakit dahulu,
bersenang-senang kemudian.


3 anak haruan berenang-renang,
anak keli mencari makan;
anak orang dikenang-kenang,
anak sendiri mati tak makan.


4 besar harapan besar gelombang,
menanti siang berganti malam;
putus harapan ditimang gelombang,
menanti saat kapal tenggelam.



5 berbudi bahasa budaya terpuji,
muafakat akan membawa berkat;
berbakti, berharmoni amalan terpuji,
kelak membawa kata sepakat.


6 kain sutera usaha Cik Rasiah,
tenunan halus corak kemboja;
usia muda usah dipersia,
bimbang kecewa di hari senja.

salam menyambut SHAWAL.
cg ij

Senin, 01 Oktober 2007


Corak pendidikan orang-orang Melayu sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua

Kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya. (Hamka).

Yang meninggikan darjat seseorang ialah akal dan adabnya, bukan asal keturunannya.
( Aristotle )


Corak pendidikan orang-orang Melayu / bukan Melayu telah mengalami banyak perubahan. Antara beberapa perubahan tersebut dapat dilihat daripada bilangan sekolah yang semakin bertambah; tenaga pengajar yang bermutu dan berpengalaman; sistem pendidikan yang lebih baik dan efisien; kurikulum sekolah yang lebih menarik; dan kepelbagaian dalam kursus-kursus yang ditawarkan.

Sejarah Ringkas Perkembangan Pendidikan Melayu Dari Zaman Raffles (1819) Hingga Zaman Selepas Perang Tahun 1950.

Sebelum itu, elok diimbas kembali serba ringkas sejarah pendidikan orang-orang Melayu sejak zaman kedatangan Sir Stamford Raffles pada tahun 1819 ke Singapura. Ketika itu, telah wujud sekolah agama yang mengajar orang-orang Melayu membaca Al-Qur'an, cara-cara mengerjakan sembahyang; pentingnya mempunyai akhlak yang baik dan mengamalkan nilai-nilai Islam yang dituntut dalam kehidupan seharian. Bahasa Melayu dan tulisan Jawi juga ada diajarkan.
Corak pendidikan orang-orang Melayu mula berubah dengan kedatangan orang-orang Eropah yang gemar belajar bahasa Melayu. Untuk memenuhi keperluan ini, Abdullah Munsyi, seorang yang mahir dalam Bahasa Melayu ketika itu telah memberikan khidmat tuisyen kepada pegawai-pegawai kolonial dan mubaligh-mubaligh dari Eropah ini. Menurut Zahoor Ahmad, sistem khidmat tuisyen secara peribadi ini boleh dikira sebagai permulaan pendidikan sekular Melayu di Singapura.

Pada tahun 1834, tertubuhlah sebuah sekolah, The Singapore Free School dengan sejumlah 12 orang murid yang telah mendaftarkan diri. Sekolah tersebut merupakan sekolah pertama yang memberikan pendidikan secara formal kepada orang-orang Melayu dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya. Malangnya, sekolah tersebut terpaksa ditutup pada akhir tahun 1842. Hal ini demikian kerana sekolah tersebut tidak mendapat sokongan daripada masyarakat Melayu yang ketika itu kurang sedar akan pentingnya pendidikan.

Kemudian pada tahun 1856, dua buah sekolah Melayu iaitu Sekolah Melayu Telok Blanga dan Sekolah Melayu Kampung Gelam telah dibangunkan atas sumbangan derma daripada Temenggong Negeri Johor dan Governor Blundell sebanyak $1,500 setiap seorang.

Pendidikan orang Melayu terus berkembang dan terarah di bawah kepimpinan A. M Skinner setelah beliau dilantik menjadi 'Inspector of Schools' yang pertama di Negeri-Negeri Selat pada tahun 1872. Dengan usaha Skinner, Sekolah Melayu Telok Blanga dan Sekolah Melayu Telok Saga telah dapat menyediakan pelajaran hingga darjah IV. Kejayaan ini telah merangsang pembukaan sebuah lagi sekolah iaitu, Sekolah Tinggi Melayu dengan pengambilan sejumlah 40 orang murid pada tahun 1876 di Telok Blanga. Sekolah ini bertempat di bekas istana Temenggong. Setelah dua tahun dibuka, Sekolah Tinggi Melayu ini diubah menjadi Kolej Latihan Perguruan Melayu demi untuk memenuhi keperluan untuk menghasilkan guru-guru Melayu di seluruh Semenanjung. Malangnya, setelah beroperasi selama 17 tahun, kolej tersebut terpaksa ditutup kerana perletakan jawatan guru-guru yang mengajar di situ. Tetapi pada tahun 1901, kolej tersebut dibuka semula di Melaka atas usaha seorang ilmuwan Melayu, R. J Wilkinson.

Perubahan yang besar terhadap pendidikan orang Melayu berlaku pada tahun 1916 dengan kedatangan Sir Richard Winstedt, seorang pegawai Kerajaan British Malaya. Beliau mempunyai pengetahuan yang luas tentang Bahasa Melayu; adat dan budaya orang Melayu; dan berpengalaman dalam pendidikan vernakular di Java dan Filipina. Atas usaha beliau, tertubuhlah Sultan Idris Training College (SITC) di Tanjung Malim, Perak pada tahun 1922. Kolej ini mengadakan ujian kelayakan bagi pelatih yang berkelulusan darjah IV untuk mendapatkan tempat di kolej itu. Kurikulumnya diperluaskan dengan subjek-subjek seperti Sains Kampung dan Kemahiran Membuat Bakul. Siri buku-buku teks moden juga telah ditulis semula. Perubahan terhadap pendidikan orang Melayu juga dapat dilihat dengan rombakan yang dilakukan terhadap kurikulum pendidikan murid perempuan yang menyertakan subjek-subjek seperti Memasak, 'Clay-Modelling', 'Paper Cutting', Kemahiran Menjahit, Kemahiran Rumahtangga, Kebersihan dan Sains Domestik bagi pelajar perempuan dewasa. Dengan tertubuhnya Malay Women's Training College (MWTC) di Melaka pada tahun 1935 , telah mengukuhkan lagi perkembangan pendidikan masyarakat Melayu di mana SITC dan MWTC menjadi semacam pusat penyebaran maklumat mengenai pengetahuan Melayu dan mempunyai pengaruh yang luas terhadap masyarakat Melayu pada tahun-tahun selanjutnya.

Semasa Zaman Pendudukan Jepun tahun-tahun 1941 hingga 1945, pendidikan di sekolah Melayu terus berfungsi dengan Bahasa Jepun dijadikan bahasa rasmi yang harus diajarkan di sekolah selain daripada Bahasa Melayu. Kebanyakan guru Melayu masih terus mengajar semasa tahun-tahun peperangan itu. Pada akhir tahun 1945, terdapat sejumlah 21 buah sekolah Melayu di Singapura.

Setelah perang berakhir, pendidikan masyarakat Melayu melalui beberapa perubahan yang muram. Hal ini demikian kerana pihak British telah merancang untuk memberikan hak pemerintahan sendiri dan akhirnya memerdekakan Tanah Melayu. Oleh itu, sistem pendidikan menyeluruh yang dapat menyatupadukan semua kaum; menanamkan nilai-nilai taat setia kepada negara dan tanggungjawab terhadap masyarakat diperlukan bagi memenuhi matlamat tersebut. Bersebabkan itu, pihak British tidak mengadakan usaha untuk menubuhkan sekolah Melayu di peringkat menengah. Peringkat yang tertinggi yang boleh dicapai oleh murid yang bersekolah di Sekolah Melayu ketika itu ialah hingga darjah VII.

Corak Pendidikan Orang-Orang Melayu tahun-tahun 1945 hingga 1950.

Penghuraian mengenai corak pendidikan orang-orang Melayu tahun-tahun 1945 hingga 1950 adalah berdasarkan pengalaman peribadi Hj Ali Mohd Saman yang dirakamkan dalam satu temubual di rumahnya. (sila rujuk)

Kesimpulan

Corak pendidikan masyarakat Melayu di Singapura telah mengalami berbagai-bagai perubahan ibarat gelombang di tengah samudera; tidak pernah tenang. Ia berkembang maju sejak zaman Rafffles dan mengalami zaman-zaman muramnya pada awal tahun-tahun 1970'an. Implikasi pendidikan Melayu telah menyedarkan masyarakat Melayu betapa pentingnya ilmu pengetahuan demi menjamin masa depan dan telah berjaya membentuk masyarakat yang bertanggungjawab dan menyumbang kepada ekonomi negara. Masyarakat Melayu juga sedar akan perlunya kekal bersaing dalam zaman yang mencabar ini dan akur bahawa pendidikan Melayu itu harus disesuaikan dengan perubahan sains dan teknologi demi kepentingan dan kewujudan masyarakat Melayu itu sendiri.